PKR selar cubaan tertentu halang Anwar bertemu Agong

Iklan
Shamsul Iskandar Mohd Akin - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Parti Keadilan Rakyat (PKR) menegaskan sebarang cubaan pihak tertentu untuk menghalang pertemuan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Yang di-Pertuan Agong sebagaimana yang telah diperkenankan adalah satu tindakan melampaui batas dan tidak menjunjung amalan demokrasi.

Ketua Penerangannya, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, ia bertentangan dengan hasrat Yang di-Pertuan Agong yang jelas membuka pintu kepada rakyat di samping meneliti dengan terperinci segala isu-isu berkaitan Perlembagaan sebagaimana ketika proses lantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri ke-8 dahulu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, Yang di-Pertuan Agong memberi perkenan kepada Anwar untuk menghadap Seri Paduka Baginda pada hari Selasa, 22 September 2020 jam 11 pagi namun terpaksa ditangguhkan pada saat akhir berikutan kegeringan dan menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).

"Perkara ini telah pun disahkan oleh pihak istana melalui satu kenyataan media Istana Negara oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Indera Ahmad Fadli Shamsuddin.

Iklan

"Pengumuman Anwar bahawa Muhyiddin telah kehilangan sokongan majoriti ahli-ahli Parlimen telah disahkan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi melalui kenyataan beliau yang menyatakan dengan jelas dan terang bahawa UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak dapat menghalang ahli-ahli Parlimen mereka yang mengambil keputusan untuk menyokong Anwar," katanya dalam satu kenyataan.

Shamsul Iskandar yang juga Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya berkata, Ahmad Zahid dalam kenyataan media menjelaskan bahawa ahli-ahli Parlimen daripada UMNO yang menyatakan sokongan tersebut adalah dalam satu jumlah yang ramai.

Iklan

"PKR yakin bahawa Muhyiddin dengan sendirinya sedar bahawa beliau telah pun kehilangan sokongan majoriti ahli-ahli Parlimen. Ini memandangkan dengan sokongan penuh ahli-ahli Parlimen daripada UMNO kepada beliau sebelum itu, Muhyiddin mempunyai selisih majoriti dua ahli Parlimen sahaja,” katanya.

Beliau berkata, kesedaran kehilangan sokongan majoriti ini turut diperkuatkan lagi dengan pengakuan Muhyiddin sendiri yang memohon untuk Anwar membuktikan sokongan majoriti beliau menurut proses dan kaedah yang ditentukan oleh Perlembagaan Persekutuan sebagai satu proses formaliti.

"Muhyiddin kini secara perundangannya telah hilang keabsahan sebagai seorang Perdana Menteri Malaysia. Oleh yang demikian, Muhyiddin sewajarnya berundur serta meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia dengan cara yang terhormat memandangkan sokongan majoriti ahli Parlimen kini telah pun beralih kepada Anwar,” katanya.

Beliau berkata, PKR mendukung penuh pentadbiran baharu Malaysia di bawah pimpinan Anwar yang pastinya akan mewakili semua rakyat, dengan majoriti Melayu-Bumiputera dan perwakilan saksama semua kaum di negara ini.

"PKR akur dan menyokong sepenuhnya kenyataan Anwar bahawa pentadbiran baharu nanti akan tetap menjunjung prinsip-prinsip Perlembagaan yang mengiktiraf kedudukan Islam, kedaulatan Raja-raja Melayu, memartabatkan kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi serta kedudukan istimewa Melayu-Bumiputera di samping jaminan tegas mempertahankan hak warga pelbagai kaum lain,” katanya.

Pada 23 September 2020 bertempat di sebuah hotel di Kuala Lumpur, Anwar mengumumkan bahawa beliau telah mendapat sokongan yang kukuh daripada ahli-ahli Parlimen untuk dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Bagaimanapun, selepas pengumuman berkenaan, banyak kenyataan yang dikeluarkan daripada individu-individu tertentu yang panik lalu memberi tohmahan buruk bahawa kenyataan Anwar hanyalah satu penipuan, propaganda pilihan raya, sandiwara dan sebagainya.