Jawatankuasa Bahagian Bersatu tiada hak umum pembubaran, kuasa hanya pada MPT

Iklan
Harris Idaham

SHAH ALAM - Tiada mana-mana peruntukan dalam Perlembagaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang membenarkan jawatankuasa Bahagian mengumumkan pembubaran.

Ketua Penerangan Armada Bersatu, Harris Idaham Rashid berkata, pihaknya melihat perkembangan beberapa Jawatankuasa Bahagian yang mengumumkan pembubaran Bahagian kerana mereka meletakkan jawatan sejak kebelakangan ini.

Iklan
Iklan

Menurut Ketua Bahagian Bersatu Balik Pulau itu, perkara berkaitan mengumumkan pembubaran adalah dalam bidang kuasa Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti yang dipengerusikan oleh Presiden.

"Badan Perhubungan Negeri (BPN) juga tidak mempunyai hak untuk mengumumkan atau mengesahkan pembubaran Bahagian dalam negeri masing-masing.

Iklan

"Undang-Undang yang sama terpakai kepada sayap-sayap. Menjadi ahli, memegang atau meletakkan jawatan adalah hak individu yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan Perkara 10 kebebasan bercakap, berhimpun dan berpersatuan.

"Tetapi, untuk mengumumkan pembubaran Bahagian, Jawatankuasa atau individu termasuk Ketua Bahagian, mereka tidak mempunyai hak sama sekali," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Iklan

Justeru, ujar Harris Idaham, Armada Bersatu menyarankan supaya pihak media menunggu pengumuman Setiausaha Agung berkenaan status di peringkat Bahagian.

"Armada Bersatu juga saran supaya tidak melaporkan perkara berkenaan pembubaran sebelum ia diputuskan di peringkat MPT, tetapi tidak ada masalah untuk melaporkan tentang peletakan jawatan kerana itu hak masing-masing," jelasnya lagi.

Sebelum ini, media melaporkan dua bahagian Bersatu di Larut dan Lembah Pantai telah membubarkan jawatankuasa masing-masing susulan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan parti.

Terbaharu, Jawatankuasa Bersatu Bahagian Kepala Batas dan Tanjong termasuk Jawatankuasa Srikandi Bahagian Bukit Gelugor dibubarkan secara rasmi.