Belum ada ketetapan tukar Ketua Pembangkang

Iklan
Takiyuddin

KOTA BHARU – [DIKEMAS KINI] Perikatan Nasional (PN) belum membuat sebarang ketetapan sama ada akan mengekalkan atau menukar jawatan Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat yang kini disandang Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Timbalan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, setakat ini tiada mesyuarat khusus diadakan bagi membincangkan perkara tersebut.

Iklan
Iklan

Beliau menjelaskan bahawa sesiapa sahaja dalam kalangan ahli Parlimen pembangkang layak dipilih sebagai Ketua Pembangkang selagi mereka berada dalam blok pembangkang.

“Pada asasnya, mana-mana ahli Parlimen pembangkang boleh dipilih menjadi Ketua Pembangkang.

Iklan

“Kami belum ada mesyuarat untuk memutuskan sama ada hendak kekalkan atau tukar,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan bahawa Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Dr Mohd Radzi Jidin dan Takiyuddin yang juga Ketua Whip berpotensi dilantik sebagai Ketua Pembangkang berikutan kedudukan mereka dalam hierarki kepimpinan parti serta gabungan berkenaan.

Iklan

Penganalisis sosiopolitik Universiti Malaya (UM), Profesor Datuk Dr Awang Azman Awang Pawi sebelum ini menjelaskan bahawa dalam konteks struktur PN, jawatan Ketua Pembangkang lazimnya ditentukan berdasarkan kekuatan blok terbesar dalam gabungan dan persetujuan kolektif antara parti komponen, khususnya Bersatu serta Pas.

Takiyuddin berkata, Hamzah bagaimanapun masih lagi ahli Parlimen pembangkang walaupun sudah dipecat daripada Bersatu.

“Isu ini juga tidak termasuk dalam agenda Mesyuarat Luar Biasa Majlis Tertinggi PN Ahad ini,” katanya.

Mengulas mengenai hala tuju politik bekas Timbalan Presiden Bersatu itu termasuk sama ada menyertai UMNO atau menubuhkan parti baharu,Takiyuddin berkata, perkara tersebut merupakan urusan dalaman dan pilihan politik individu yang tidak melibatkan campur tangan Pas.

“Terpulang kepada beliau sama ada hendak menyertai UMNO, menubuhkan parti baharu atau membuat apa-apa keputusan politik.

“Itu perjalanan politik beliau sendiri,” katanya.

Beliau berkata, Pas tidak pernah mencampuri urusan dalaman parti lain dan tidak menawarkan keahlian secara khusus kepada mana-mana individu.

“Pas terbuka kepada sesiapa sahaja yang mahu memohon menjadi ahli, tetapi ada proses dan penilaian.

“Kami tidak pernah menawarkan secara khusus kepada mana-mana Ahli Parlimen untuk menyertai Pas,” katanya.

Takiyuddinturut menegaskan bahawa hubungan Pas dengan parti lain dalam PN kekal seperti biasa dan tidak terjejas dengan sebarang perkembangan politik yang melibatkan individu tertentu.

“Perkara yang berlaku dalam parti lain adalah urusan mereka.

“Kami fokus kepada pengukuhan PN dan peranan sebagai blok pembangkang,” katanya.