Undian seri, MTUC buntu tentukan calon Presiden

Iklan
Barisan pemenang bagi persidangan perwakilan MTUC bagi sesi 2020-2022 yang berlangsung di Pusat Konvensyen IDCC Shah Alam semalam

SHAH ALAM - Buat julung kali dalam sejarah 71 tahun penubuhan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), kesatuan itu gagal mencapai kata sepakat dalam menentukan kedudukan jawatan tertinggi.

Ini kerana persidangan perwakilan bagi sesi 2020-2022 yang berlangsung di Pusat Konvensyen IDCC di sini berakhir dengan keputusan seri.

Iklan
Iklan

Persidangan perwakilan yang berlangsung tiga tahun sekali itu menyaksikan penyandang jawatan Presiden, Datuk Abdul Halim Mansor daripada Kesatuan Kebangsaan Pekerja Perusahaan Petroleum dan Kimia (NUPCIW) serta pencabarnya, Mohd Jafar Abd Majid daripada Kesatuan Kebangsaan Pekerja Telekomunikasi (NUTE) masing-masing meraih undian sama dengan 136 undi.

Calon ketiga, Nor Azlan Yaacob daripada Kesatuan Pekerja Industri Perkayuan (TEU) meraih 102 undi.

Iklan

Berikutan keputusan itu, Timbalan Presiden yang baru dilantik, Mohd Effendy Abdul Ghani dari Kesatuan Pekerja-pekerja Pos akan menjadi pemangku Presiden.

Setiausaha Agung yang baharu dipilih, Kamarul Baharin Mansor berkata, pihaknya akan mengadakan mesyuarat dengan jawatankuasa kerja dalam masa terdekat bagi membincang dan mendapatkan pandangan mereka berhubung perkara itu selain menguruskan urusan harian kesatuan.

Iklan
Kamarul Baharin

"Apa pun kita kena duduk berbincang dengan jawatankuasa kerja dan pada masa yang sama kita juga akan dapatkan nasihat daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) memandangkan keputusan seri untuk jawatan utama ini tidak pernah berlaku sebelum ini.

"Kita akan buat temu janji dengan pihak RoS terlebih dahulu dan kalau boleh kita ingin selesaikan perkara ini secepat mungkin,” katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.

Kamarul Baharin yang juga Setiausaha Agung Kesatuan Pengurusan Sisa Kebangsaan (NUMW) menyifatkan pertembungan dua pemimpin berpengalaman dalam MUTC yang melibatkan bekas Presiden dan Timbalan Presiden menyebabkan pemilihan pada kali ini sengit.

"Seramai 507 perwakilan yang layak menghadiri persidangan itu, bagaimanapun hanya kira-kira 387 orang yang hadir kerana sesetengah perwakilan dari Sarawak tidak dapat hadir akibat pandemik Covid-19.

"Jadi buat masa ini, jawatan Presiden masih belum dapat diputuskan lagi selepas keputusan undian seri dan kita akan menyelesaikan perkara ini dengan kaedah yang terbaik,” katanya.

Sekitar pemilihan bagi jawatan Setiausaha Agung pada persidangan perwakilan MTUC bagi sesi 2020-2022 yang berlangsung di Pusat Konvensyen IDCC Shah Alam semalam.

Kamarul Baharin memegang jawatan itu selepas meraih undian tertinggi dengan memperolehi 143 undi menewaskan Gopal Kishnam Nadeson daripada Kesatuan Kebangsaan Pekerja Perusahaan Alat Pengangkutan dan Sekutu (NUTEAIW) yang mendapat 132 undi.

Penyandangnya, J Solomon daripada Kesatuan Kebangsaan Pekerja Bank meraih 98 undi.

Difahamkan, empat kesatuan sekerja sebelum ini telah memfailkan permohonan di mahkamah untuk mencabar kesahihan penganjuran persidangan itu yang didakwa tidak mematuhi Perlembagaan MTUC.

Mereka mahu RoS campur tangan dan menyelia pemilihan itu untuk memastikan jawatankuasa kerja bertindak mengikut perlembagaan.

Bagaimanapun, permohonan itu ditolak oleh mahkamah dan pengurusan semula kes ditetapkan pada 29 September ini.