NEW DELHI - INDIA. Sekurang-kurangnya tiga maut dan beberapa lagi dikhuatiri terperangkap di bawah runtuhan bangunan di perkampungan Shah Beri di luar New Delhi, menurut pihak berkuasa, hari ini.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang dilakukan berjaya mengeluarkan ketiga-tiga mayat daripada runtuhan konkrit dan besi di Greater Noida, Uttar Pradesh.

"Kami tidak mempunyai bukti konkrit tentang jumlah sebenar individu dalam bangunan itu ketika insiden tersebut berlaku. Angka kematian dijangka meningkat," kata ketua bomba wilayah, Arun Kumar Singh.

Ada laporan mendakwa terdapat beberapa keluarga tinggal di dalam kompleks tersebut, namun ia tidak dapat disahkan.

Semalam, bangunan enam tingkat itu dilaporkan runtuh menimpa bangunan kediaman empat tingkat yang masih dalam pembinaan.

Mei lalu, sekurang-kurangnya 18 maut apabila sebuah jejambat runtuh di utara India dan menyebabkan beberapa kenderaan terperangkap di bawah konkrit. - Agensi