• Letupan itu berlaku berhampiran garisan penamat dan turut mencetuskan panik. Letupan itu berlaku berhampiran garisan penamat dan turut mencetuskan panik.
1 /

BOSTON - Dua letupan yang berlaku berhampiran garisan penamat acara Maraton Boston, kelmarin meragut sekurang-kurangnya tiga nyawa manakala lebih 140 lagi cedera dalam insiden menggemparkan itu.

Susulan daripada kejadian tersebut, satu siasatan besar-besaran yang diketuai Biro Siasatan Persekutuan (FBI) dijalankan dengan meneliti video dan gambar bagi mengenal pasti dalang yang bertanggungjawab.

Ejen Khas, Rick DesLauriers berkata, ia berkemungkinan melibatkan tindakan keganasan. Bagaimanapun, siasatan awal mendapati, serangan itu bukan dilakukan oleh pengebom berani mati.

Sehingga kini, tiada pihak mengaku bertanggungjawab melancarkan pengeboman berkembar tersebut yang turut mengorbankan seorang kanak-kanak berumur lapan tahun.

Jurucakap Tehreek e Taliban (TTP) di Pakistan, Ehsanullah Ehsan menegaskan mereka tidak terlibat walaupun kumpulan tersebut pernah mengancam untuk melancarkan serangan di Amerika Syarikat.

Menurut pihak berkuasa, dua bom yang belum meletup juga ditemui berhampiran lokasi kejadian, namun mereka enggan memberi butiran lanjut kerana siasatan masih diteruskan katanya pada laporan AFP.

Sementara itu, Presiden Barack Obama berikrar untuk memburu pihak yang bertanggungjawab dan dihadapkan ke muka pengadilan.

Dalam perkembangan lain, polis turut mengetatkan kawalan di sekitar Boston selain melakukan pemeriksaan rawak terhadap penumpang bas dan kereta api.