BEIJING - CHINA.  Selepas 17 tahun melarikan diri, seorang rakyat China yang dikehendaki oleh Interpol atas dakwaan menggelapkan wang sebanyak US$485 juta, telah dihantar pulang ke negara asal dari Amerika Syarikat, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan agensi pencegahan rasuah pada Rabu.

Menurut agensi itu, bekas pegawai kanan bank, Xu Chaofan, dikatakan mempunyai kaitan dengan kecurian wang tersebut.

Memetik kenyataan dari laman sesawang rasmi Suruhanjaya Pusat bagi Pemeriksaan Disiplin Parti Komunis China, Xinhua melaporkan bahawa bekas ketua Bank of China, cawangan Kaiping di Wilayah Guangdong yang terletak di selatan China, boleh membantu siasatan. - Bernama