ILLINOIS - AMERIKA SYARIKAT. Seorang kanak-kanak perempuan dibenarkan membawa ganja ke sekolah setelah disahkan oleh doktor untuk tujuan perubatan (medical marijuana).

CNN mengatakan Ashley Surin, 11 sebelum ini dilarang menghadiri kelas selepas pihak pengurusan sekolah mendapati dia menggunakan ganja dan minyak kanabis untuk mengurangkan sawan.

Cara perubatan Ashley dilaporkan berjaya mengawal sawan mangsa selain memperbaharui keadaan kesihatannya, kata ibu bapanya.

"Minyak kanabis dan ganja bagai ubat ajaib untuk dia," kata ibu Ashley, Mauren selepas perbicaraan.

Kata Maureen, Ashley boleh berjalan dan bercakap dengan lebih baik dengan pelan perubatan tersebut.

"Otak dia sebelum ini macam berada di awangan. Sekarang dia boleh berfikir dengan jelas," jelas Maureen sambil mengalirkan air mata.

Ashley sebelum ini disahkan menghidap lymphoblastic leukimia dan telah menjalani kimoterapi dan suntikan di tulang belakang untuk melawan kanser berkenaan.

Salah satu suntikan tersebut bagaimanapun menyebabkan mangsa mula diserang sawan secara tiba-tiba sejak mangsa berumur dua tahun.

Sebelum menggunakan ganja preskripsi, kesihatan Ashley bertambah teruk dan mangsa selalu hilang ingatan, marah-marah dan penat.

Salah satu insiden sawan dialami oleh Ashley menyebabkan doktor terpaksa mengeluarkan darah dari otak mangsa.

Ashley kemudian mula menggunakan ganja pada Ogos tahun lalu selepas keluarga mangsa mendapat lesen untuk menggunakannya untuk tujuan perubatan.

Sejak itu, kesihatan Ashley bertambah baik dan kanak-kanak tersebut bertambah ceria.