BANGKOK - THAILAND. Seorang wanita sarat hamil melahirkan bayinya ketika menghadiri sebuah majlis perkahwinan.

Nattaporn Tesrit, hadir ke majlis perkahwinan rakannya Mayuree Kumchanteuk di daerah Sikhiu dalam keadaan sarat.

Ketika Mayuree menunggu rombongan membawa hantaran tiba, Nattaporn mengadu sakit hendak bersalin.

Beberapa individu yang berada berhampirannya turut terkejut dan panik, namun segera membawa Nattaporn di bawah pokok.

Nattaporn bagaimanapun selamat melahirkan bayi perempuan seberat 3.2 kilogram sebaik sahaja pegawai perubatan tiba.

Mayuree turut mengucapkan tahniah dan sempat mengambil gambar bersama  Nattaporn dan bayinya sebelum mereka dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.

Hadirin yang datang merasa gembira dengan kelahiran tersebut kerana ia dianggap sebagai tuah. – The Nation/Asia News Network