NEW YORK - Suspek yang terlibat  insiden rempuhan dan menyebabkan seorang maut manakala 22 lagi cedera di laluan pejalan kaki di Times Square, di sini berdepan beberapa dakwaan termasuk membunuh darjah kedua.

Insiden menggemparkan itu berlaku apabila lelaki yang memandu kereta Honda tersebut dipercayai membuat pusingan U sebelum merempuh puluhan pejalan kaki sepanjang tiga blok, kelmarin.

Suspek dikenali sebagai Richard Rojas, 26, dari Bronx pernah ditahan dua kali kerana memandu dalam keadaan mabuk.

Veteran tentera laut AS yang dipercayai mempunyai masalah psikologi itu memberitahu polis dia ada mendengar suara yang menyuruhnya berbuat demikian.

"Kamu sepatutnya menembak saya! Saya mahu membunuh mereka!" katanya selepas diberkas polis.

Ujian awal ke atas Rojas mendapati dia positif dadah dan pihak berkuasa percaya lelaki tersebut berada khayal ketika insiden itu.

Sementara itu, Datuk Bandar New York, Bill de Blasio mengesahkan insiden itu tiada kaitan tindakan keganasan.  - Agensi

Artikel Berkaitan
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.