DUNGUN - Jabatan Perhilitan Terengganu mengesahkan kejadian mengenai kehadiran seekor harimau belang di kilometer 354  Lebuhraya Pantai Timur Fasa II(LPT2), Bukit Besi seperti yang diviralkan di media sosial.

Pengarah Perhilitan Terengganu, Mohd Hasdi Husin berkata, kejadian yang diviralkan adalah benar dan tindakan untuk menangkap haiwan liar itu sedang giat dijalankan.

"Kita sudah memasang perangkap dan membuat pemantauan dari semasa ke semasa untuk menangkap haiwan yang dilindungi itu.

"Paling membimbangkan ialah keselamatannya kerana risau binatang ini melintas jalan dan kita tidak mahu kejadian harimau dilanggar oleh kenderaan di LPT2 seperti yang pernah berlaku sebelum ini.

"Jarak di antara harimau itu ditemui dengan lokasi kejadian kemalangan sebelum ini hanya 30 kilometer sahaja.

"Apabila perkara ini sudah "viral", haiwan ini kini dalam bahaya kerana akan menjadi buruan pemburu haram.

"Selain ingin menangkap untuk dilepaskan semula ke habitat lebih selamat, tujuan pemantauan dibuat adalah bagi mengelak pak belang ini ditangkap pemburu haram,"katanya kepada Sinar Harian.

Beliau tidak menafikan pelbagai lagi hidupan liar mungkin berada di kawasan itu tetapi orang ramai diminta tidak menyebarkannya di laman sosial dan menjadi viral keran ia hanya mendatangkan kesan buruk kepada spesis itu sendiri.

"Kita nasihatkan kepada orang ramai yang ternampak atau terserempak dengan binatang buas di LPT2 supaya tidak menyebarkannya kepada umum sehingga menjadi viral.

"Apa yang mereka perlu buat ialah menghubungi pihak perhilitan dengan segera supaya tindakan untuk melindungi haiwan itu dapat diambil," katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA LIPIS - Berita individu pulang ke kampung halaman sempena Aidilfitri di Kampung Relong di sini dengan menaiki helikopter yang tular di laman sosial, tidak benar.
  • SETIU - Arnab panggang yang menjadi viral sejak minggu lepas kini semakin mendapat permintaan tinggi sehingga ada yang sanggup datang dari jauh untuk mendapatkan makanan berkenaan.