SEBERANG TAKIR - “Selama 50 tahun kami sekeluarga hidup dalam kebimbangan jika rumah yang kami duduki ini dirobohkan bila-bila masa,” demikian kata Mohamad Jusoh, 73.

Bagaimanapun Mohamad dan tiga ahli keluarga lain kini dapat menarik nafas lega apabila terpilih antara 23 penerima Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di Lembah Harapan, di sini.

“Sebelum ini kami sekeluarga duduki rumah yang dibina di atas tanah kerajaan memandangkan saya tidak mempunyai tanah dan tidak mampu membeli rumah.

“Alhamdulillah syukur dan terima kasih kepada kerajaan terutamanya Menteri Besar yang juga Adun Seberang Takir, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman.

“Selepas ini kami tidak perlu lagi bimbang sekiranya diusir malah steruja kerana dapat tinggal di rumah yang selesa dan selamat,” katanya.

Katanya, dengan pendapatan tidak menentu sebagai nelayan adalah mustahil baginya untuk menyediakan rumah yang selesa buat isteri dan anak-anak.

Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman ketika melawat tapak projek perumahan yang menelan kos RM40,000 sebuah rumah itu turut berpuas hati dengan gerak kerja yang dilaksanakan kontraktor.

Jelasnya, projek yang menggunakan Sistem Binaan Berindustri  (IBS) atau pasang siap itu dijangka mengambil masa kira-kira tiga bulan untuk disiapkan.

“Kita sedia maklum di kawasan berdekatan Lembah Harapan juga akan membangun dengan lebih pesat sebaik projek Akuapolitan bermula nanti.," katanya.