KUANTAN - “Alhamdulillah, daripada segi keperluan makan minum kami di sini semuanya cukup atas sumbangan orang  ramai malah ada yang menyumbang makanan masak untuk anak-anak pelajar di sini.

“Syukur kami semua di sini panjatkan atas rezeki diberikan ALLAH melalui sikap prihatin orang ramai selama ini,” kata Mudir Pusat Tahfiz Miftahul-Qura’ Bukit Beirut, Mohd Abdul Salam Abdul Ghani.

Beliau berkata, daripada aspek keperluan makan minum pelajar seramai 40 orang berusia antara 8 hingga 17 tahun, pihaknya tidak menghadapi sebarang masalah.

“Cumanya di sini kami berdepan sedikit masalah daripada segi kemudahan infrastruktur  untuk menampung jumlah pelajar yang semakin bertambah.

“Maahad ini yang terletak di lokasi strategik mendapat permintaan tinggi di kalangan ibu bapa untuk hantar anak-anak mengikuti pengajian namun disebabkan masalah tempat terhad, banyak permohonan terpaksa ditolak,” katanya ketika ditemui di pusat itu, kelmarin.

Mohd Abdul Salam berkata, bagi mengatasi masalah itu dan jaminan kepada keselesaan pelajarnya, beliau bercadang menaik taraf kemudahan di pusat itu termasuk membina bangunan asrama dan rumah guru yang lebih selesa.

“Semua ni dah lama kami rancang memandangkan tapaknya sudah ada cuma masih belum dapat dilaksanakan kerana masalah dana.

“Ikut perkiraannya, kami memerlukan kira-kira RM200,000 namun sekiranya ada sumbangan diterima, kami boleh mulakan kerja-kerja lebih awal mengikut peruntukan yang ada,” katanya.

Menurutnya, bangunan asrama sedia ada mengikut kapasitinya mampu memuatkan 30 pelajar.

“Jadi keperluan ini agak mendesak memandangkan jumlah pelajar sedia ada melebih jumlah itu dan mereka memerlukan ruang yang lebih selesa,” katanya.

Menurutnya, dengan modal sendiri, beliau memulakan kerja-kerja awal meratakan tapak di sebelah kawasan sedia ada bagaimanapun disebabkan keadaannya yang berbukit dan terdapat bongkah-bongkah batu besar, usaha itu terbantut seketika disebabkan memerlukan kos yang tinggi.

Katanya, justeru beliau mengharapkan sumbangan orang ramai mahupun organisasi tertentu tampil menghulurkan sumbangan dana bagi merealisasikan hasrat pihak pengurusan demi keselesaan penghuni.

Beliau berkata, orang ramai yang berhasrat menyumbang boleh menghubunginya di talian 013-9076147 dan 017-9114082

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • ALOR SETAR - Seorang Adun Kedah hari ini mengharapkan agar Jabatan Agama Islam Negeri menetapkan satu kokurikulum standard secara menyeluruh di semua pusat tahfiz di negeri ini dalam usaha melahirkan golongan tahfiz yang seimbang dengan ilmu duniawi dan ukhrawi.
  • SEREMBAN - Hasil pemeriksaan keselamatan Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan mendapati hanya satu daripada 64 sekolah tahfiz di seluruh negeri itu menepati aspek keselamatan yang ditetapkan.
  • TANAH MERAH - Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (Sriti) Tahfiz al-Furqan Tanah Merah di sini, melancarkan Kempen Sumbang RM30 Seorang bagi mengumpul dana berjumlah RM92,600.
  • SEREMBAN - Kurikulum Bersepadu Tahfiz akan dilaksanakan di semua Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) dan pondok tahfiz di negeri ini menjelang tahun 2025, kata Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan.
  • KOTA BHARU - Dua belas pengetua sekolah tahfiz di Kelantan melahirkan rasa tidak puas hati terhadap peruntukan diberikan oleh kerajaan terhadap 28 institusi pengajian tahfiz, baru-baru ini.