KUALA NERUS - Seramai 100 wanita daripada keluarga nelayan dan ibu tunggal di daerah ini menjadi perintis bagi program tanggungjawab sosial korporat terbaharu Petronas iaitu Planting Tomorrow.

Program yang turut mendapat kerjasama MyKasih Foundation itu diadakan bertujuan meningkatkan taraf ekonomi dan hidup golongan sasaran berkenaan.

Pengurus Besar Petronas Wilayah Pantai Timur, Wan Mohd Hasnan Abdullah berkata, program yang bertemakan #KitaCipta itu dijalankan melalui siri latihan berterusan selama enam bulan yang mendedahkan peserta dengan kemahiran pengurusan kewangan, pemasaran produk dan sesi motivasi bidang keusahawan.

"Program Planting Tomorrow ini merupakan satu lagi komitmen berterusan Petronas dalan usaha untuk menyokong usaha kerajaan membasmi kemiskinan.

"Peserta yang terpilih ini juga terbahagi kepada mereka yang telah menceburkan diri dalam bidang keusahawanan dan juga sebaliknya.

"Justeru, kita harap dengan program yang menjana inovasi sosial dan meningkatkan kehidupan masyarakat yang kurang bernasib baik melalui pembangunan keupayaan dan sumbangan keperluan asas," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada pelancaran Program Planting Tomorrow di TH Hotel, di sini.

Majlis dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman.