IPOH - Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik meminta mana-mana saksi yang melihat kemalangan melibatkan sebuah kereta dan lori balak hingga mengorbankan empat mangsa, semalam tampil membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Ismail Che Isa berkata, maklumat saksi diperlukan bagi melengkapkan siasatan  nahas dengan segera.

“Kita pohon saksi kejadian kemalangan di KM59 Jalan raya Timur Barat, Gerik-Jeli ini tampil dengan kadar segera.

“Mereka boleh hadir ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Gerik dan berhubung terus dengan pegawai penyiasat, Inspektor Nasapira Mat Kar,” katanya.

Nahas kira-kira jam 4.30 petang itu mengorbankan Mohd Nizam Suhaidin, 34, dan isterinya, Noor Hafizah Ismail, 34, serta anak sulung mereka, Muhammad Afiq, 6.

Turut terkorban adalah pemandu lori, Redzuan Abd Ghani, 59.

Seorang lagi mangsa iaitu anak kedua Mohd Nizam, Nur Hanania Maisarah, 2, menerima rawatan lanjut di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh.

Terdahulu, media melaporkan kejadian berlaku apabila lori muatan balak dari arah Jeli terbabit hilang kawalan sebelum berpusing dan merempuh kereta dinaiki empat beranak itu yang berada di laluan bertentangan.