IPOH - Sebuah pasar raya yang memiliki rangkaian perniagaan besar di seluruh negara digesa menghentikan penjualan arak di semua cawangannya  terutamanya di kawasan majoriti penduduknya  beragama Islam.

Ketua Penerangan Umno Bahagian Larut, Mohd Shafiq Fhadly Mahmud,  yang  menyifatkan tidak ada keperluan untuk pasar raya berkenaan menjual minuman keras itu.

Malah menurutnya, penjualannya dikhuatiri bakal memberikan persepsi yang salah di kalangan orang ramai khususnya anak-anak muda.

“Kita Pemuda Umno Bahagian Larut membantah penjualan arak ini, terutamanya di kawasan Batu Kurau yang 99 peratus penduduknya adalah orang Melayu, Islam dan tidak ada satu keperluan untuk penjualannya di sini.

“Oleh itu, kami hantar satu notis bantahan bagi mendesak hentikan penjualan arak di kawasan  majoriti penduduknya adalah Muslim Melayu.

“Lagi pun, ia nyata  bertentangan dengan syariat Islam dan boleh mengundang lebih banyak gejala sosial kalau ia (arak) terus dijual di kawasan kita,” katanya kepada Sinar Harian ketika mengadakan tinjauan salah satu cawangan pasar raya berkenaan di Batu Kurau yang didapati menjual minuman keras berkenaan, biarpun majoriti penduduk sekitar berbangsa Melayu dan beragama Islam.

Mohd Fhadly berkata, bantahan seumpamanya adalah kesinambungan daripada tindakan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) di Ipoh Perak, Mei lalu yang menyerbu cawangan pasar raya berkenaan di Manjoi setelah menerima laporan wujud penjualan arak di situ.

“Kita juga dimaklumkan bantahan sama turut dibuat di Kedah dan kali ini bantahan dibuat di Batu Kurau pula,” katanya.