IPOH - Anggota penyelamat mengambil masa hampir dua jam untuk mengalihkan kotak dan guni berisi makanan yang bertaburan di laluan lebuh raya selepas kenderaan membawa barangan itu terbalik, malam tadi.

Nahas berlaku di KM266.4 Lebuhraya Utara Selatan (arah Selatan) sekitar jam 11.45 malam itu melibatkan sebuah lori membawa makanan sejuk beku, treler muatan barangan masakan dan sebuah van perdagangan.

Kejadian kurang 5km dari Terowong Menora itu menyebabkan kesesakan berlaku hampir 7km, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Meru Raya, Nor Azam Abd Rahman berkata, kerja pengalihan barang itu dilakukan bagi mengurangkan kesesakan.

Menurutnya, keadaan lori dan treler yang terbalik menyebabkan hampir separuh barang dagangan dibawa, bertaburan menutup kedua-dua lorong.

“Setelah kita pastikan semua mangsa terselamat, anggota dibantu orang ramai mengangkat kotak-kotak antaranya berisi tepung, bijirin dan beberapa lagi barang masakan lain ke bahu jalan.

“Selepas hampir dua jam, barulah satu daripada lorong berkenaan selamat untuk dilalui kenderaan,” katanya.

Lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Meru Raya dikejarkan ke lokasi sebaik menerima panggilan pada jam 11.48 malam.

Beliau berkata, nahas berlaku menyebabkan empat mangsa termasuk seorang wanita cedera, sementara dua lagi terselamat.

Katanya, kesemua mangsa berjaya keluar daripada kenderaan masing-masing dibantu orang awam dan mereka yang cedera telah dibawa ke hospital menggunakan kenderaan Perkhidmatan Anggota dan Penyelamat Paramedik (EMRS) untuk rawatan lanjut.

“Operasi menyelamat tamat pada jam 5.19 pagi tadi,” katanya.

Kejadian itu turut menyebabkan laluan kontra diaktifkan di KM265.1 hingga KM266.9 berikutan kerja pengalihan kenderaan yang terlibat dalam kemalangan.

Trafik bagaimanapun kembali lancar pada jam 9.30 pagi tadi apabila kedua-dua lorong telah dibuka sepenuhnya.