BANDAR JENGKA - Seramai 600 mahasiswa dan mahasiswi diraikan dalam Majlis Kecemerlangan Akademik Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Pahang, Kampus Jengka di sini, malam tadi.

Majlis ini adalah majlis penghargaan dari pengurusan UiTM cawangan Pahang terhadap penuntutnya yang berjaya memperoleh keputusan cemerlang dengan purata nilai gred (CGPA) 3.5 dan ke atas serta Anugerah Naib Canselor.

Rektornya, Profesor Dr Mohd Nazip Suratman berkata, penerima anugerah bukan sahaja diraikan dalam majlis makan malam tetapi turut menerima sijil penganugerahan sebagai simbolik yang akan mendorong mereka untuk terus berusaha dan berjaya bagi semester dan pengajian berikutnya.

"Ini sebagai motivasi mereka untuk meneruskan kecemerlangan, juga menjadi contoh dan pemangkin kepada mahasiswa mahasiswi lain supaya berusaha menjadi seperti mereka.

"Dalam masa yang sama, UiTM mahu menjadikan program sebegini sebagai platform merapatkan ukhwah antara pelajar, pensyarah, kakitangan dan pengurusan atasan UiTM Pahang," katanya ketika merasmikan program tersebut di Dewan Indera Segara UiTM, di sini, malam tadi.

Dr Mohd Nazip selanjutnya berkata, majlis tersebut adalah satu manifestasi yang dizahirkan pihak UiTM yang menggambarkan komitmen institusi tersebut dalam melonjakkan kecemerlangan akademik para pelajar.

"Semoga dengan ilmu dan pengetahuan serta pengalaman yang dilalui para pelajar dapat dikongsi bersama orang lain agar mendapat keberkatan berterusan.

"Juga diharapkan semua warga universiti UiTM menjadi mercu tanda keilmuan yang dipandang tinggi oleh semua rakyat Malaysia," katanya.

Dalam majlis tersebut, seramai 600 pelajar menerima anugerah kecemerlangan akademik dengan 579 daripadanya menerima Anugerah Dekan dan 20 orang lagi adalah penerima Anugerah Naib Canselor.

Penerima Anugerah Dekan Terbaik, semester lima Sarjana Muda Sains Sujan (Kepujian), Muhammad Hafizuddeen Bahari, 23, berkata, anugerah tersebut akan menjadi pemangkin semangat untuknya meneruskan kecemerlangan di semester berikutnya.

"Saya mahu mengekalkan pencapaian CGPA setiap semester supaya berjaya mendapat Anugerah Naib Canselor pula nanti," katanya.

Sementara itu, graduan Diploma Industri Perkayuan, Nur Shana Hidayah Ahamad Arshad, 23, merupakan penerima Anugerah Naib Canselor.

Gadis berasal dari Perak ini berharap, kejayaannya menjadi pemangkin dan contoh kepada rakan-rakan lain untuk turut memperoleh kecemerlangan sepertinya, sekali gus mendedikasikan kejayaan kepada ibu bapa.

"Saya berterima kasih kepada pensyarah dan ibu bapa yang banyak mendorong dan berdoa untuk saya. Begitu juga rakan-rakan yang membantu dalam pelajaran. InsyaALLAH saya merancang untuk menyambung pelajaran di peringkat izajah dan berazam akan terus kekalkan kecemerlangan," katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.