TAMPIN – Pelik. Tak pernah pula anak Kampung Sungai Kelamah Gemas ini melihat kelibat tiga orang berjubah mengayuh basikal di perkampungan berkenaan.

Macam orang Arab gaya pakaiannya lebih-lebih lagi dengan serban yang turut dipakai di atas kepala.

Belum lagi dengan misai di muka, namun anak muda ini, Mohd Said Tangkai yang ketika itu berusia 18 tahun hanya memandang ke arah tiga lelaki yang mengayuh basikal berkenaan dengan perasaan tertanya-tanya.

Sinar Harian yang berpeluang mendengar sendiri pengalaman Mohd Said atau lebih dikenal sebagai Tok Said itu di kediamannya di Kampung Sungai Dua, Gemencheh, berasa sangat teruja memandangkan ingatan warga emas berusia 92 tahun itu masih kuat untuk menceritakan apa yang dilihat, didengar dan dirasanya apa yang berlaku 74 tahun lalu.

Askar Jepun berbasikal

Tok Said berkata, kira-kira setengah jam selepas dia melihat kelibat tiga lelaki berbasikal berkenaan, dia mendengar bunyi tembakan dan barulah dia mengetahui tiga lelaki yang baharu dilihatnya itu merupakan pengintip terdiri daripada tentera Jepun.

“Tak tahulah siapa yang terbunuh tetapi tiga lelaki tu.. rupa-rupanya ingin mengintip di mana kedudukan tentera Australia, orang putih dan juga Gurkha.  

"Bermula dengan tembakan senapang itulah, pakcik lihat tidak putus-putus askar Jepun lengkap berpakaian seragam tiba dengan mengayuh basikal.

“Tak terkira banyaknya sebab ada saja yang datang kayuh basikal.  Keluarga pakcik dan sebuah lagi keluarga dari India yang merupakan pekerja keretapi terus berpindah ke dalam hutan kerana lokasi rumah yang terlalu dekat dengan laluan jalan darat askar Jepun," katanya yang merupakan pesara kerajaan.

Dia yang dahulunya bertugas sebagai pengawas hutan berkata, ketika melarikan diri, mereka terpaksa merobohkan titi yang menghubungkan sungai kerana bimbang tentera Jepun akan sampai ke kawasan mereka.

Kibar bendera Jepun

 Menurut Tok Said, selepas berpindah dan mengalas perut, dia mengambil sehelai kertas yang diwarnakannya seperti bendera Jepun dan diikat dengan kayu untuk mengaburi mata tentera negara matahari terbit itu.

“Pakcik kibar bendera yang pakcik buat tu dan mereka tidak tahan pakcik tapi seolah-olah bangga dengan apa yang pakcik buat," katanya.    

Tok Said berkata, pada masa berkenaan padi sedang masak dan ketika dia melalui sawah padi dia ternampak kapal terbang B29 dari arah Singapura ke Tampin mengeluarkan dua objek yang disangka kapal terbang kecil dari bahagian perut kapal terbang berkenaan.

“Pakcik ingat kapal terbang kecil, rupa-rupanya bom dari tentera Komanwel yang menyasarkan lori tentera Jepun yang berhenti di situ.  Lokasi sasarannya betul-betul di dewan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Gemencheh.  Serpihan bom pula sampai dalam sawah.

“Tak selamat lagi untuk duduk di situ, bila tentera Jepun datang bertanyakan perempuan di rumah kami.  Mujur orang perempuan kami sorokkan di dalam padi yang sedang masak.  

"Ayah pakcik, Tangkai Tapa akhirnya buat keputusan untuk melarikan diri ke Ulu Rokan Gemencheh guna laluan di Kampung Geduk pada waktu malam bagi mengelak ditangkap tentera Jepun," katanya.

Tujuh malam dihujani bom

 Tok Said berkata, bunyi dentuman bom silih berganti antara pesawat kecil tentera Jepun dan tentera Komanwel selama tujuh hari tujuh malam.

“Tak sesaat pun tiada bunyi dentuman bom dan akhirnya bunyi berkenaan tiada lagi selepas tujuh hari tujuh malam.  Mengikut cerita yang pakcik dengar sepanjang pertempuran tujuh hari berkenaan, tentera Jepun yang masuk dari utara dan Kelantan telah bertemu di Gemas menyebabkan tentera Komanwel terkepung.

“Bagaimanapun, tentera Komanwel tak patah semangat apabila bermati-matian cuba mempertahankan diri dan menyekat kemaraan dengan meletupkan jambatan di kampung kami sebaik dilalui lori tentera Jepun.  Kebetulan, air masa itu agak tinggi menyebabkan semuanya dihanyutkan air," ceritanya.

Menurut Tok Said, dia dan ayahnya serta dua lagi saudara pula ke rumah mereka di Sungai Kelamah bagi melihat kesan pertempuran berkenaan.

“Rumah kami yang terletak di tepi jalan dipenuhi dengan bulu ayam dan kambing.  Mungkin tentera Jepun menggunakan rumah kami untuk memasak.  Bangkai haiwan juga bertimbun-timbun.  Kami beranikan diri melalui kawasan pertempuran tentera Jepun ke Gemas.

“Barang habis bertaburan, kain baju, basikal, peti muzik, tilam, lori terbalik. Sebaik tiba di jambatan, kami lihat jambatan sudah putus.  Kami terjun ke dalam sungai bagi meneruskan perjalanan ke seberang," katanya.

Tok Said berkata, mereka melihat mayat-mayat tentera Komanwel ditimbunkan di beberapa lokasi tanpa ditanam, sebaliknya, mayat percaya ditanam berikutan terdapat batas baharu seperti batas menanam sayur.

“Lokasi ini merupakan kubu tentera Komanwel dan pertempuran sengit berlaku di sini. Dulu orang kata Jepun datang barang murah, bukannya murah tapi duit dah tak laku lagi untuk beli barang selepas penjajahan Jepun sehinggalah penghujung tahun 1944," katanya.

Lihat tentera tanpa kepala berkawat

Bagi Pengerusi JKKK Sungai Kelamah, Ibrahim Pendek, lokasi Tugu Peringatan Sungai Kelamah berkenaan begitu istimewa buat penduduk kampung memandangkan lokasi berkenaan menyimpan seribu satu sejarah perjuangan tentera
Komanwel bagi mempertahankan kubu mereka.

Menurutnya, peninggalan sejarah ketika Perang Dunia Kedua berkenaan bukan hanya membabitkan lokasi tugu peringatan, bahkan lebih kurang satu kilometer dari lokasi berkenaan di dalam kebun penduduk, terdapat tiga binaan yang dipercayai tempat menyimpan peluru serta senjata tentera Komanwel.

"Binaannya begitu kukuh.Malah, ada beberapa kawasan berbukit yang kita percaya menjadi tempat bersemadinya tentera Komanwel.

"Sebagai kumpulan penduduk yang datang ke tempat ini bagi pembukaan Felda Sungai Kelamah pada tahun 1967, kita hanya dengar cerita mengenai lokasi ini daripada masyarakat setempat.

“Namun, sehingga ke hari ini, ada penduduk yang bagi tahu kadangkala mereka ternampak kelibat tentera tanpa kepala sedang berkawat di kawasan kebun serta tugu berkenaan yang terletak dekat dengan kubu tentera Komanwel ketika Perang Dunia Kedua dahulu," katanya.

Ibrahim berkata, selain penemuan tempat menyimpan senjata berkenaan, tiang jambatan lama yang diletupkan menggunakan kayu hutan juga masih utuh di tepi sungai.

“Malah, saya juga menemui ceracak kayu yang dibuat tentera Komanwel bagi menghalang kenderaan tentera Jepun melalui kawasan berkenaan sebelum jambatan ini," katanya.

Beliau yang juga bekas tentera berkata, sewajarnya lokasi berkenaan dinaiktaraf dan didokumentasikan dengan lebih baik lagi bagi memberi peluang kepada generasi muda mengetahui perjuangan generasi terdahulu dalam menentang kemaraan askar Jepun.

Majlis memperingati wira Pada 14 januari 1942, Jambatan Gemencheh, yang terletak di Sungai Kelamah telah diletupkan oleh pasukan tentera Australia bagi menghalang pegerakkan musuh iaitu askar jepun.

Susulan insiden berkenaan, lebih 1,000 askar jepun terkorban manakala 81 askar dari pasukan tentera Australia mati.

Kapten Desmond Duffy dari 1/30 batalion division 8 pasukan tentera Australia yang mengetuai serang hendap berhampiran Jambatan Gemencheh.

Susulan keistimewaan lokasi bersejarah berkenaan, Majlis Memperingati Wirawira Perang Dunia ke-2 anjuran Persatuan Wira Malaysia, PDRM dan ATM telah dilaksanakan di Tugu Peringatan Sungai Kelamah, pada Mac 2013.

Majlis turut mendapat sokongan penuh daripada kerabat diraja Negeri Sembilan dan Yang Amat Mulia Tunku Zain Al’Abidin Ibni Tunku Muhriz turut hadir bagi menyempurnakan majlis berkenaan.

Menurut Tunku Zain Al’Abidin, keberanian yang ditonjolkan oleh tentera Tanah Melayu dan Komanwel khususnya tentera Australia ketika pertempuran Perang Dunia Kedua perlu sentiasa diiktiraf dan diperingati semua golongan terutamanya generasi muda.

Kenal pasti warisan sejarah

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kebudayaan dan Adat Istiadat Melayu yang juga Adun Gemas, Abd Razak Ab Said berkata, pihaknya kini sudah bekerjasama dengan Jabatan Warisan Negara untuk mengenal pasti warisan peninggalan sejarah yang terdapat di Sungai Kelamah berkenaan.

Menurutnya, lokasi berkenaan merupakan lokasi yang menyimpan banyak sejarah yang mana secara tidak langsung akan dapat menjadi tarikan pelancongan bahkan tarikan buat individu yang berminat untuk melihat sendiri peninggalan perang.

“Pembinaan sebarang bentuk pembangunan di lokasi itu mendapat kerjasama Kedutaan Australia memandangkan lokasi tersebut cukup bersejarah untuk diingati mereka," katanya.

Pegawai Daerah Mohamed Roduan Ujang berkata, pihaknya kini dalam perancangan untuk menaik taraf lokasi Tugu Peringatan Sungai Kelamah sebagai destinasi pelancongan utama di Tampin.

“Kerja naik taraf akan melebarkan papan tanda, landskap, kawasan tempat letak kereta dan lain-lain lagi.

Perancangan ini adalah dengan kerjasama Lembaga Muzium Negeri Sembilan, Lembaga Pelancongan, Kementerian Pertahanan Malaysia, dan kedutaan berkaitan.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • TUMPAT - “Pakcik jaga pingat ini macam pakcik jaga diri sendiri."
  • PASIR MAS - Seramai 4,653 veteran tentera di Kelantan dan Terengganu masih belum membuat tuntutan berkaitan pencen, faedah persaraan dan bantuan kebajikan lain dengan Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
  • BUKIT MERTAJAM - - Persatuan Veteran Rejimen Semboyan Diraja Utara kekal aktif dan membantu ahli memerlukan melalui sesi pantauan dan lawatan dijalankan secara berperingkat.
  • MACHANG - - Dua beradik bekas tentera di sini, menyifatkan Sumbangan Veteran Tidak Berpencen 1Malaysia ((SVTB1M) sebagai ‘hadiah’ bermakna buat mereka.