BANDARAYA MELAKA - Kerajaan negeri berhasrat untuk mensasarkan 200 hektar tanah di negeri ini bagi tanaman jagung bijian dengan hasil pengeluaran yang dijangka mencecah 120,000 tan metrik (setiap empat bulan) dalam tempoh 12 bulan dari sekarang.

Exco Pertanian dan Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Hasan Abd Rahman, berkata perlaksanaan projek itu turut bertujuan menyahut seruan kerajaan untuk mengurangkan kebergantungan negara kepada import hasil tanaman tersebut bagi makanan ternakan.

“Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani memperkenalkan Pelan Pembangunan Jagung bijian bermula 2016-2020 berikutan daripada kadar import jagung bijian yang mencapai 4 juta tan metrik dengan nilai RM3.1 bilion setahun dengan kadar kebergantungan import hampir 100 peratus.

“Malaysia berpotensi untuk mengeluarkan jagung bijian kerana mempunyai tanah dan iklim yang sesuai sepanjang tahun serta corak pasaran yang terjamin.

“Malah secara tak langsung dapat meningkatkan pendapatan petani dengan memaksimumkan penggunaan tanah serta menjamin keselamatan makanan ternakan dalam negara,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada sidang media selepas merasmikan program Penuaian Jagung Bijian Melaka di Kampung Gapam, di sini, yang turut dihadiri, Pengarah Jabatan Pertanian negeri, Rusdan Abdul Talib.

Hasan berkata, bagi memenuhi hasrat dan sasaran itu pihaknya amat mengalu-alukan mana-mana usahawan tani yang ingin menceburkan diri dalam projek itu dengan permulaan sekurang-kurangnya empat hektar.

“Jika ada kalangan mereka yang berminat boleh terus berjumpa pihak Jabatan Pertanian negeri untuk mendapatkan input dan insentif yang disediakan.

“Kita juga akan minta pejabat daerah dan tanah untuk mengenalpasti kawasan yang sesuai dijadikan tapak projek tanaman jagung bijian ini kerana ia amat berpotensi untuk jadikan usahawan tani berjaya,” katanya.

Melaka melalui Jabatan Pertanian negeri merupakan antara negeri yang terawal selain Perlis, Perak, Johor dan Pulau Pinang yang memulakan projek perintis tanaman jagung bijian di Kampung Gapam berkeluasan 13 hektar yang diusahakan oleh usahawan, Lee Nyan Hin.

Jagung bijian ini mula ditanam pada 29 September tahun lalu bertujuan pengeluaran hasil untuk dijadikan salah satu bahan makanan ternakan.

Tempoh penuaian bagi jagung bijian ialah dari 100-110 hari lepas ditanam. Anggaran harga semasa bagi satu tan metrik jagung bijian ialah RM1,000.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :