GUA MUSANG - Seorang wanita maut apabila kenderaan yang dinaiki dipercayai gagal memotong dalam kejadian berhampiran Kesedar Paloh 1, Jalan Gua Musang-Kuala Krai, petang tadi.

Difahamkan, mangsa yang masih belum dikenal pasti identiti meninggal dunia di tempat kejadian dan dihantar ke Hospital Gua Musang.

Kejadian berkenaan melibatkan kenderaan jenis Proton Saga yang dinaiki mangsa dan Proton Wira.

Menurut saksi yang juga pemilik Proton Wira yang dikenali sebagai Farid, dia berada di dalam kereta rakannya manakala keretanya itu dipandu rakan lain.

"Kami dari Kesedar Paloh 1, berkonvoi dua buah kereta menuju ke Kuala Krai. Tiba di kawasan berkenaan, kereta Saga tersebut tiba-tiba memotong dan rakan saya tidak sempat mengelak.

"Lalu, berlaku pertembungan dan rakan saya mengalami kecederaan. Kereta berkenaan dari Kuala Krai menuju ke Gua Musang," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Mohd Taufik Maidin mengesahkan kejadian.