TANAH MERAH - Penemuan plastik sampah hitam berbau busuk yang disangka kes buang bayi di Kampung Hutan Lanjut, dekat sini, petang tadi, rupa-rupanya berisi sisa perut haiwan yang sudah berulat.

Difahamkan, bungkusan plastik sampah itu ditemui selepas seorang penduduk dikenali nama Pok Su Bisu dari Chekok Ipoh terhidu bau busuk sejak beberapa hari lalu ketika menebas di kawasan berkenaan.

Curiga dengan bau busuk itu, Pok Su Bisu dikatakan mengajak dua penduduk untuk memeriksa plastik sampah tersebut kira-kira jam 6 petang tadi sebelum mereka mendapati isi kandungannya sudah berulat.

Kerana menyangka isi plastik sampah yang sudah berulat itu adalah janin bayi, penduduk terbabit melaporkannya kepada polis.

Ketua Polis daerah, Deputi Superintendan Suzaimi Mohamad berkata, susulan laporan dibuat penduduk, pegawai penyiasat dihantar ke tempat penemuan untuk siasatan awal.

"Hasil pemeriksaan awal, isi kandungan plastik sampah yang sudah berulat ini adalah sisa perut binatang dan bukannya janin bayi," katanya ketika dihubungi.

Justeru, katanya, berita yang tular dalam laman sosial Facebook yang mengaitkan penemuan itu dengan kes buang bayi adalah tidak benar.

"Saya minta orang ramai agar tidak cepat menyebarkan berita yang tidak pasti kebenarannya terutama yang boleh menimbulkan rasa tidak tenteram," katanya.