KOTA BHARU - [VIDEO] Menyembunyikan rokok seludup dalam timbunan bekas polisterin dan tayar lama, dalam dua lori berasingan bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Tindakan itu dilakukan penyeludup dalam dua kejadian berasingan di Setiu, Terengganu dan Gua Musang.

Dalam kejadian pertama kelmarin di Setiu, Terengganu, penyeludup nekad membawa 5,400 rokok terbabit seberat 1,620 kilogram dianggarkan bernilai RM 86,400 dalam sebuah lori yang dalam perjalanan masuk ke Kelantan.

Pengarah Kastam Kelantan, Datuk Nasir Yusoff berkata, lelaki berusia 47 tahun itu, ditahan selepas lori yang disyaki membawa rokok berkenaan di diserbu di hadapan Sekolah Kebangsaan Batu 29, Jalan Kota-Terengganu, Setiu.

"Kes terbabit disiasat di bawah seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang dari 10 kali ganda jumlah nilai barangan dan tidak melebihi 20 kali ganda jumlah nilai barangan terlibat atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

"Sementara dalam kes berasingan pada 8 Januari lalu pada jam 2.15 petang dan Pasukan Operasi Kota Bharu menahan lori di Gua Musang yang membawa rokok tidak sah dalam timbunan tayar lama, "katanya.

Menurutnya, pasukan yang bertugas telah mengejar lori tersebut dan memintas lori itu di hadapan sebuah restoran makanan segera di Gua Musang.

"Namun pemandu dan kelindan terbabit berjaya melarikan diri.

"Hasil pemeriksaan mendapati lori tersebut telah membawa sejumlah rokok yang tidak sah dari Kuala Lumpur untuk pasaran Kelantan yang bernilai  RM100,644 dan kes disiasat di bawah seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967,"katanya.