JOHOR BAHRU - Pusat pemindahan sementara (PPS) akibat bencana banjir di Sekolah Kebangsaan Tanjong Tohor, Muar ditutup sepenuhnya kira-kira jam 8.30 pagi tadi.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Negeri Johor, Kol (PA) Mat Zin Bujang berkata, PPS yang menampung lima keluarga membabitkan 22 mangsa itu adalah yang terakhir setelah pusat di Batu Pahat ditutup, semalam.

"PPS ini menempatkan mangsa dari kawasan Kampung Sungai Pulai, Muar yang terjejas akibat banjir sejak Selasa lalu (16 November).

"Ia juga adalah yang terakhir ditutup selepas dua lagi PPS yang dibuka iaitu di Dewan Pusat Khidmat Penyayang, Batu Pahat dan  Sekolah Kebangsaan Nam Heng, Johor Bahru, ditutup semalam," katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Mat Zin berkata, mangsa dibenarkan pulang selepas didapati selamat selain kerja-kerja pasca banjir oleh pihak keselamatan selesai dijalankan.

Bagaimanapun katanya, pihaknya masih berada dalam keadaan siap siaga selain terus memantau sekiranya bencana banjir berulang di negeri ini.

Terdahulu, PPS yang dibuka dalam Daerah Batu Pahat adalah untuk menempatkan mangsa banjir dari Ayer Hitam iaitu Lorong Budin, Kilometer 31.5 Jalan Batu Pahat, Kampung Parit Khalil, Kampung Parit Samion.

Manakala di Johor Bahru pula adalah untuk menempatkan mangsa dari kawasan terjejas di Kampung Pasir, Permatang (Kempas), Batu 20 (Kampung Sungai Tiram) dan Kampung Paya (Nam Heng).