Suami isteri maut, anak lelaki parah nahas lima kenderaan

Anggota penyelamat berusaha mengeluarkan mangsa daripada kenderaan yang terlibat kemalangan di KM46, Kampung Selamat, Sungai Tong di Setiu, pada Sabtu. - Foto ihsan bomba
Anggota penyelamat berusaha mengeluarkan mangsa daripada kenderaan yang terlibat kemalangan di KM46, Kampung Selamat, Sungai Tong di Setiu, pada Sabtu. - Foto ihsan bomba
A
A
A

SETIU - Sepasang suami isteri maut manakala anak lelaki mereka cedera parah dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan di Kilometer (KM) 46, Kampung Selamat, Sungai Tong di sini, pada Sabtu.

Kemalangan kira-kira jam 1.17 tengah hari itu melibatkan sebuah lori, dua kenderaan pelbagai guna (MPV) iaitu Proton Exora dan Toyota Wish, sebuah kenderaan pacuan empat roda Nissan Navara serta Perodua Axia.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintenden Afandi Hussin berkata, mangsa, Faizul Azman, 44, dan isterinya, Habsah Ismail, 44, yang menaiki Proton Exora meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah.

"Anak lelaki mereka iaitu Muhammad Daniel Dzulkarnain, 13, yang mengalami kecederaan parah pada bahagian muka dikejarkan ke Hospital Setiu.

Pasangan suami isteri maut, manakala anak mereka parah dalam kemalangan lima kenderaan di KM46, Kampung Selamat, Sungai Tong di Setiu, pada Sabtu. - Foto ihsan bomba
Pasangan suami isteri maut, manakala anak mereka parah dalam kemalangan lima kenderaan di KM46, Kampung Selamat, Sungai Tong di Setiu, pada Sabtu. - Foto ihsan bomba

"Seramai 13 individu termasuk pemandu dan penumpang kenderaan lain yang terlibat nahas itu terselamat termasuk lima kanak-kanak berusia 2 bulan hingga 13 tahun yang berada di dalam sebuah Toyota Wish," katanya dalam kenyataan di sini, petang tadi.

Beliau berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sementara itu, Komander Operasi Bomba, Sulaiman Merah berkata, seramai 16 anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Setiu dibantu BBP Kuala Nerus dikerahkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan jam 1.17 tengah hari.

"Anggota penyelamat membersihkan sisa kemalangan menggunakan aliran hose reel air tangki jentera dan operasi tamat jam 3.22 petang," katanya.