X

Kindly register in order to view this article
!

Kerajaan Negeri miliki 30% saham, Syabas bukan kroni BN

A
A

SHAH ALAM - Pentadbiran Pakatan Rakyat di Selangor tidak wajar bersikap lepas tangan dalam isu pengurusan air kerana 30 peratus saham dalam loji-loji rawatan air yang diuruskan oleh syarikat konsesi air adalah milik Kerajaan Negeri. Koordinator Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Seri Ir Mohd Zin Mohamed berkata, fakta ini jelas menafikan dakwaan Kerajaan Negeri bahawa syarikat konsesi air iaitu Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) merupakan kroni BN. Beliau berkata, 30 peratus saham tersebut dimiliki Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) dan Kumpulan Perangsang Selangor (KPS), sekalu anak syarikat Kerajaan Negeri. Menurutnya, sikap lepas tangan kononnya syarikat terbabit tidak berkaitan dengan Kerajaan Negeri juga dianggap tindakan memalukan kerana 30 peratus saham adalah tinggi. "Saya yakin kepimpinan Kerajaan Negeri akan terus menafikan isu ini dan mengalihkannya menerusi kenyataan politik tanpa fakta yang kukuh. "Mereka akan tetap tegaskan bahawa ini syarikat kroni BN yang memberi mutu air rendah dan tarif air yang tinggi, hakikatnya tuduhan tersebut dilemparkan kembali kepada mereka," katanya dalam sidang media, semalam. Beliau yang juga Setiausaha Umno Selangor berkata, sebagai pemegang saham dalam Syabas, Kerajaan Negeri juga terlibat dalam mesyuarat lembaga pengarah. Menurutnya, isu mutu air rendah berlaku kerana sikap Kerajaan Negeri tidak memantau kilang-kilang yang beroperasi di pesisir sungai di Selangor. "Tiada tindakan tegas dikenakan menyebabkan sisa-sisa kilang terus dibuang ke dalam sungai tanpa dirawat terlebih dahulu. "Malah, Kerajaan Negeri juga membekukan Perbelanjaan Modal (CAPEX) syarikat konsesi dan menyebabkan kerja-kerja penukaran paip lama yang berkarat atau rosak tidak dapat dilakukan," katanya. Sementara itu, Setiausaha Politik Menteri Besar, Faekah Husin ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan Kerajaan Negeri mempunyai saham 30 peratus dalam Syabas. Namun, pihaknya mempersoalkan mengapa isu ini dibangkitkan sekarang sedangkan polisi tersebut wujud sebelum PR memerintah Negeri Selangor lagi. "Apa masalahnya mempunyai saham dalam syarikat konsesi air, 30 peratus saham itu sudah lama diwujudkan sejak dahulu lagi. "Berdasarkan jumlah saham tersebut juga, Kerajaan Negeri tidak mampu mempengaruhi Syabas dalam sebarang keputusan," katanya.


×

Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus