Kenaikan harga petrol himpit kehidupan rakyat

Muhammad Khalil Abdul Hadi. - Foto Sinar Harian oleh ROSLI TALIB
A
A

MARANG - Pemuda Pas mengkritik tindakan kerajaan menaikkan harga minyak yang disifatkan sebagai secara terus menerus menghimpit kehidupan rakyat dengan alasan untuk menyelamatkan ekonomi negara. Timbalannya, Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, Islam menggariskan tiga faktor utama yang menjadi punca keruntuhan sesebuah ekonomi iaitu riba, tipu dan makan harta orang lain secara jalan batil. Menurutnya, hari ini telah disaksikan, keruntuhan ekonomi berskala besar berlaku ke atas sebuah negara Eropah, Greece akibat riba yang diharamkan ALLAH SWT. “Bibit keruntuhan ekonomi jahiliah kini sedang bermula sebagaimana jatuhnya kuasa kapitalis, sosialis dan komunis. “Tidak mustahil esok dan lusa perkara sama boleh berlaku ke atas negara kita sekiranya kerajaan yang memerintah tidak berpegang kepada sistem ekonomi Islam digariskan ALLAH," katanya. Muhammad Khalil berkata, kenaikan harga minyak sebanyak 10 sen dan 20 sen seliter satu lagi tindakan yang dianggap tidak wajar. Menurutnya, kenaikan harga minyak itu bakal 'mencekik leher' rakyat atas kesan berangkai peningkatan harga barangan yang pasti berlaku selepas ini. “Rakyat kekal menjadi mangsa yang dibebankan setelah pelaksanaan GST menghimpit kehidupan mereka. “Pada hal sumber dan hasil negara ini melimpah ruah tidak pernah berkurangan,” katanya.


×