X

Kindly register in order to view this article
!

Hadi tidak kisah jadi nelayan jika tiada jawatan PM

A
A

HULU TERENGGANU – Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, beliau tidak kisah menjadi nelayan asalkan Perdana Menteri yang dipilih kelak mengamalkan dasar pemerintahan Islam dan mampu menyelamatkan negara.

“Yang penting ialah mereka yang berjaya menyelamatkan negara. Itu yang penting. Apabila sudah menang, ada orang mahu pimpin negara, saya balik jadi nelayan, tidak mengapa.

“Saya mahu orang yang pimpin negara selamat ikut Islam. Siapa pimpin ikut Islam, saya tidak mengapa (tidak menjadi masalah) balik ke laut,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Majlis Sambutan 100 Tahun Itqan Al-Muluk Bi Ta’dil As Suluk di Kampung Gaung, Kuala Berang di sini malam tadi.

Beliau mengulas ketika ditanya mengenai bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hassan Ali mencadangkan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menggantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri sekiranya Pakatan Rakyat (PR) memerintah kelak.

Bagaimanapun, sekiranya umur Nik Aziz menjadi penghalang, beliau mencadangkan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai Perdana Menteri.

Abdul Hadi bagaimanapun menegaskan bahawa perbincangan mengenai siapa layak menjadi Perdana Menteri akan dibincang dan diumumkan selepas PR berjaya memerintah negara.

Buat masa ini, beliau menegaskan untuk berpegang sebagaimana pendirian Rasulullah SAW berhubung pelantikan seseorang sebagai pemimpin.

“Saya jawab sebagaimana Nabi Muhammad SAW jawab, kalau menang siapa (layak jadi pemimpin), Nabi jawab akan diberi kepada sesiapa yang akan diberi oleh Allah,” katanya.

Dalam masa sama, beliau akan akur terhadap segala keputusan yang berlaku selepas PR berjaya mengambil alih pemerintahan negara kelak.


×

Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus