Kerusi bahagian pembangkang kosong selepas kesemua Adun BN keluar Dewan.
A
A

IPOH - Semua Adun BN Perak bertindak keluar Dewan Negeri sebagai protes tindakan Speaker Dun Perak, Datuk Ngeh Koo Ham yang disifatkan sebagai berat sebelah.

Tindakan itu bermula apabila Ketua Pembangkang, Datuk Saarani Mohamad ketika mengakhiri ucapan perbahasannya dengan mengucapkan tahniah kepada Koo Ham kerana menjadi wakil rakyat paling kaya di Malaysia.

Bagaimanapun Koo Ham menjawab, rakyat akan lebih kaya jika rampasan kuasa yang berlaku pada 10 tahun lalu tidak berlaku.

Kenyataan itu kemudiannya mendatangkan kemarahan Adun-Adun BN yang menganggap jawapan itu sebagai tuduhan berat sebelah.

25 Adun BN kemudian bertindak keluar Dewan sebagai tanda protes kepada Koo Ham.

Sementara itu, Saarani pada sidang medianya selepas itu menjelaskan tindakan Koo Ham memberikan penjelasan dan mengeluarkan kenyataan berat sebelah dengan memihak kepada kerajaan.

"Sebab itu kita saran dari awal lagi agar Speaker melepaskan semua jawatan di dalam parti agar tidak dilihat berat sebelah membuat keputusan.

"Speaker sepatutnya berkecuali dan tak boleh berbahas. Speaker tadi bila kita kemukakan soalan dia pun macam nak menjawab," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Saarani berkata, Koo Ham sebenarnya tidak tahan dengan beberapa perkara yang dibawa ketika perbahasannya.

Katanya, perkara yang dibangkitkan dalam ucapan perbahasan itu ibarat memulang paku buah keras kepada PH sebelum ini yang sering membangkitkan isu Bajet Negeri Perak sewaktu BN defisit tetapi ketika mereka menjadi kerajaan juga turut membentangkan bajet defisit.

Sementara itu, beliau berkata, kerajaan Perak perlu menyediakan pelan mitigasi untuk memastikan rizab kerajaan tidak berkurangan.

"Kesan yang paling besar kepada kerajaan apabila mereka batal projek-projek besar yang telah diluluskan berjumlah RM10 billion.

"Disebabkan itu, ia memberikan kesan kepada rakyat di bawah, malah majlis daerah juga tak dapat hasil cukai dan sebagainya," katanya.

Bagaimanapun Saarani berkata, tindakan boikot tersebut hanya berlaku sementara sahaja dan mereka masuk semula selepas makan tengah hari.  


×