Politik Kedah: Dua ADUN sertai Bersatu

Azman (tengah) menyerahkan borang keahlian Bersatu kepada Suhaimi (kiri) sambil diperhatikan Azmin dan Zuraida pada Majlis Makan Malam Penggerak Komuniti Negeri Kedah di Dewan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS), di sini, malam tadi.
Azman (tengah) menyerahkan borang keahlian Bersatu kepada Suhaimi (kiri) sambil diperhatikan Azmin dan Zuraida pada Majlis Makan Malam Penggerak Komuniti Negeri Kedah di Dewan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS), di sini, malam tadi.
A
A
A

ALOR SETAR - Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kedah menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) selepas hampir empat bulan menjadi wakil rakyat Bebas.

Mereka ialah ADUN Lunas, Azman Nasrudin dan ADUN Sidam, Dr Robert Ling Kui Ee.

Azman mengumumkan penyertaannya ke dalam Bersatu di hadapan Menteri Kanan (Perdagangan Antarabangsa dan Industri), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali serta Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Zuraida Kamaruddin, malam tadi.

"Saya dan Dr Robert yang merupakan Timbalan Pengerusi Penggerak Komuniti Negeri Kedah mengisytiharkan kami berdua masuk dan menyertai Bersatu.

"Kami menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Noor," katanya ketika pengumuman itu sempena Majlis Makan Malam Penggerak Komuniti Negeri Kedah di Dewan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS), di sini, malam tadi.

Beliau berkata, pada masa sama antara 5,000 hingga 10,000 ahli pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Penggerak Komuniti Negara dari pelbagai parlimen di Kedah dijangka menyertai Bersatu.

"Kita bergerak seperti biasa tetapi sebagai mencari satu platform politik yang akan masuk pilihan raya, kita telah berbincang dengan seluruh Penggerak Komuniti Negara dan mereka bersetuju menyertai Bersatu.

"Malah, kita akan berbincang dengan pimpinan Bersatu Kedah untuk mengukuhkan serta memantapkan Bersatu di Kedah. Insya-ALLAH kami bersedia menerima arahan daripada Presiden Bersatu dan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Negeri Kedah, Senator Datuk Mohd Suhaimi Abdullah," katanya yang merupakan Exco Pertanian dan Industri Makanan, Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Pengangkutan dan Hal Ehwal Masyarakat India.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, pengerusi parlimen telah menghantar borang penyertaan untuk masuk Bersatu manakala akar umbi kini dalam proses memandangkan perlu mendapatkan borang penyertaan parti.

Pada Mei lalu, dua ADUN berkenaan mengumumkan keluar dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan menjadi wakil rakyat Bebas dengan menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN).