Diseret sebelum tersepit antara kereta, tiang

Seorang pelancong asing maut dirempuh kereta dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan dan seorang pejalan kaki di Jalan Melaka Raya, hari ini.
Seorang pelancong asing maut dirempuh kereta dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan dan seorang pejalan kaki di Jalan Melaka Raya, hari ini.
A
A
A

MELAKA - Seorang pelancong asing maut dirempuh kereta dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan dan seorang pejalan kaki di Jalan Melaka Raya di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.45 pagi itu, mangsa Tatarian Maurice, 64, dari Perancis, dipercayai berjalan kaki untuk melintas persimpangan Jalan Melaka Raya 12 sebelum dirempuh kereta jenis BMW yang dipercayai hilang kawalan selepas bertembung dengan kereta Honda Jazz.

Difahamkan, selepas dirempuh kereta mewah terbabit, mangsa diseret kira-kira 20 meter sebelum tersepit antara kereta dan tiang bangunan di hadapan kedai dobi layan diri.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, berdasarkan siasatan awal, kereta BMW dipandu lelaki berusia 34 tahun bergesel dengan kereta Honda Jazz dipandu lelaki berusia 27 tahun.

Pemandu BMW tidak dapat mengawal kereta lalu merempuh mangsa yang berjalan kaki sebelum terbabas ke kiri jalan dan naik ke kali lima bangunan.

“Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian kerana kecederaan teruk pada badan dan kaki, manakala pemandu kedua-dua kereta tidak mengalami kecederaan.

“Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Melaka, manakala kedua-dua kenderaan ditahan untuk pemeriksaan Puspakom,” katanya.

Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1)(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel Berkaitan: