Ganggu kekasih rakan, lelaki ditetak hingga putus ibu jari

Gambar hiasan. Gambar kecil: Noorzainy
Gambar hiasan. Gambar kecil: Noorzainy
A
A
A

KEPALA BATAS - Seorang lelaki putus ibu jari tangan kiri dan cedera pada tangan kanan akibat diserang menggunakan parang samurai oleh kawannya sendiri kerana didakwa mengacau kekasih lelaki itu dalam kejadian di Permatang Tok Brain, Telok Air Tawar, Butterworth, 31 Ogos lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, dalam pergaduhan itu mangsa yang berusia 28 tahun diserang kerana didakwa mengganggu teman wanita suspek dan kedua-dua lelaki itu merupakan sahabat sejak zaman kanak-kanak.

"Dalam kejadian pada jam 6.45 petang, mangsa dipanggil oleh suspek yang juga kenalannya sejak kecil supaya datang ke rumahnya bagi membincangkan mengenai teman wanita suspek.

"Tanpa mengesyaki apa-apa, mangsa ke rumah suspek seorang diri untuk berbincang perkara tersebut. Bagaimanapun, ketika mangsa tiba, suspek terus menyerangnya menggunakan pedang samurai dengan menetak tangan kiri mangsa sehingga ibu jarinya putus.

"Kemudian mangsa menghalang tindakan suspek itu menggunakan tangan kanan lalu menyebabkan tangan kanannya turut cedera akibat tetakan. Kejadian berlaku di hadapan rumah suspek. Mangsa menghubungi polis dan dibawa ke hospital untuk rawatan," kata beliau ketika dihubungi Sinar Harian, hari ini.

Tambah Noorzainy, polis menahan suspek yang berusia 20 tahun pada jam 5 pagi semalam untuk siasatan.

"Hasil semakan, suspek mempunyai tujuh rekod jenayah melibatkan jenayah dan dadah manakala mangsa mempunyai tiga rekod jenayah lampau. Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan cedera parah," ujar beliau.

Artikel Berkaitan: