Penjawat awam ditahan cuba seludup 9.3kg dadah

Rozasin (tengah) menunjukkan gambar suspek, dadah dan aset yang dirampas semasa melakukan serbuan di sebuah jeti pada sidang akhbar Kem Batalion 6 PGA Bakri, Muar, Johor hari ini.
Rozasin (tengah) menunjukkan gambar suspek, dadah dan aset yang dirampas semasa melakukan serbuan di sebuah jeti pada sidang akhbar Kem Batalion 6 PGA Bakri, Muar, Johor hari ini.
A
A
A

MUAR - Empat individu termasuk seorang penjawat awam ditahan selepas disyaki cuba menyeludup 9.3 kilogram (kg) dadah jenis syabu dianggarkan bernilai RM830,000 di Jeti Nelayan Parit Jawa di sini pada 24 Ogos lalu.

Menerusi serbuan pada jam 9 pagi, pada mulanya penjawat awam berusia 43 tahun bersama seorang rakannya dipercayai tekong darat berusia 40-an tiba di jeti itu sebelum didatangi dua lagi warga Indonesia dengan menaiki bot jenis fiber.

Pegawai Pemerintah Batalion 6, Polis Gerakan Am (PGA) Bakri, Muar, Superintendan Rozasin Ramlan berkata, semua mereka ditahan semasa sedang menyiapkan bekalan dadah jenis syabu untuk dipindahkan ke dalam bot.

"Semasa serbuan pihak polis menemukan sembilan bungkusan dadah berwarna hijau seberat 9.3kg yang dibungkus menggunakan plastik teh dianggar bernilai RM830,000.

"Turut dirampas sebuah kereta jenis Proton Saga BLM dan sebuah bot fiber dengan jumlah rampasan bernilai RM1.02 juta," katanya dalam sidang akhbar di Kem Batalion 6 PGA Bakri di sini hari ini.

Rozasin (tengah) ketika menunjukkan dadah yang dirampas dan disembunyikan dalam plastik teh pada sidang akhbar Kem Batalion 6 PGA Bakri, Muar, Johor hari ini.
Rozasin (tengah) ketika menunjukkan dadah yang dirampas dan disembunyikan dalam plastik teh pada sidang akhbar Kem Batalion 6 PGA Bakri, Muar, Johor hari ini.

Pada 25 Jun lalu seorang penjawat awam iaitu anggota polis yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar ditahan bersama tiga lelaki kerana terlibat aktiviti penyeludupan dadah ke Indonesia melalui jalan laut.

Anggota polis berpangkat Lans Koperal itu ditangkap kerana bersekongkol dengan sindiket penyeludupan dadah dan turut dirampas dadah serta kenderaan dengan jumlah rampasan sitaan bernilai RM94,000.

Artikel Berkaitan:

Rozasin berkata, hasil siasatan suspek mengaku sudah dua atau tiga kali melakukan aktiviti pengedaran dadah menggunakan jalan laut sepanjang tahun ini.

Katanya, semua suspek direman selama 14 hari bermula 25 Ogos lalu dan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.