Status Henderson, Matip masih samar

Jordan Henderson
Jordan Henderson
A
A
A

PENGENDALI Liverpool, Jurgen Klopp mengakui masih samar sama ada pemain pertahanan Joel Matip dan pemain tengah Jordan Henderson akan kembali cergas menjelang sepak mula saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Leeds United di Stadium Anfield bulan depan.

Menurut Klopp, beliau berharap Henderson dan Matip dapat menyertai beberapa sesi latihan penuh Liverpool minggu depan sebagai persiapan aksi pada 12 September ini.

“Sejujurnya saya sememangnya berharap supaya Handerson dan Matip dapat kembali cergas menjelang perlawanan menentang Leeds United di Anfield.

“Kita akan pantau Handerson dan Matip secara lebih dekat semasa sesi latihan minggu depan. Kita tidak mahu mereka tergesa-gesa untuk kembali pulih sepenuhnya.

"Jika ditanya saya tentunya saya berharap mereka dapat diturunkan kerana kedua-duanya adalah aset Liverpool, cumanya kita perlu tunggu dan lihat perkembangan terkini mereka,” katanya.

Kapten Reds, Henderson sebelum ini tidak beraksi sejak mengalami kecederaan lutut ketika menang di Brighton pada 8 Julai sekali gus menyaksikannya terlepas empat baki perlawanan kempen 2019/20.

Sementara Matip pula mengalami kecederaan kaki ketika menentang Everton pada derbi Merseyside, penghujung Jun lalu sekali gus menyaksikannya berehat panjang selepas itu.

Biarpun begitu kedua-dua pemain ini tetap mengikuti latihan pra musim The Reds di Austria pada minggu lalu walaupun tidak diturunkan dalam aksi menentang kelab Bundesliga, VfB Stuttgart dan kelab Austria, Red Bull Salzburg.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, kelibat kedua mereka tidak kelihatan ketika Liverpool tewas kepada Arsenal pada saingan Perisai Komuniti di Stadium Wembley pada Sabtu.

Henderson juga disisihkan dari skuad England untuk pertandingan Liga Negara-Negara Eropah menentang Iceland dan Denmark pada awal September bagi membolehkannya fokus mendapatkan kembali kecergasannya.

Sementara itu, Trent Alexander-Arnold dijangka cergas menjelang perlawanan menentang Leeds United walaupun disisihkan semasa pramusim di Austria dan perlawanan di Wembley pada Sabtu.

Pemain berusia 21 tahun itu dijangka mengikuti latihan skuad Three Lions kendalian Gareth Southgate untuk Liga Negara-Negara Eropah sebelum kembali ke Merseyside tiga hari sebelum saingan musim ini bermula.