Dua lelaki pengsan semasa mengecat dalam perut kapal

Anggota bomba mengeluarkan seorang pekerja yang pengsan semasa mengecat dalam perut kapal di Pasir Gudang hari ini.
Anggota bomba mengeluarkan seorang pekerja yang pengsan semasa mengecat dalam perut kapal di Pasir Gudang hari ini.
A
A
A

PASIR GUDANG - Dua lelaki pengsan semasa melakukan kerja-kerja mengecat dalam perut kapal di Malaysia Marine and Heavy Engineering (MMHE) Sdn Bhd, Jalan Pekeliling, di sini hari ini.

Dalam kejadian pada jam 2.34 petang, pekerja terbabit yang hanya dikenali sebagai Mohd Samdi, 30an dan Mohd Suffian, 26, sedang mengecat perut kapal dipercayai hanya menggunakan pelitup muka yang biasa.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Gudang, Timbalan Penguasa Bomba II Ibrahim Omar berkata, mereka tidak menggunakan topeng penapis pernafasan yang lengkap dan selamat.

"Semasa melakukan kerja-kerja mengecat dinding perut kapal, kedua-duanya pengsan dipercayai terhidu bau cat yang sangat kuat.

"Kemudian seorang daripada mereka sedar daripada pengsan dan keluar dari perut kapal lalu memberitahu pihak pengurusan MMHE terdapat seorang lagi masih berada dalam perut kapal," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya, mangsa itu kemudian mendapat rawatan kecemasan daripada pasukan tindakan kecemasan (ERT) MMHE sebelum menghubungi pihak BBP Pasir Gudang untuk mendapatkan bantuan.

Menurutnya, 10 anggota BBP itu dengan sebuah jentera Fire Rescue Team (FRT) dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dihantar ke tempat kejadian.

"Pihak bomba bertindak memakai tiga set breathing apparatus (BA) dan memasuki ruang dalam kapal serta mengeluarkan mangsa kedua dengan selamat," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mangsa tersebut katanya, turut diberikan rawatan awal oleh ERT MMHE sebelum kedua-duanya dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru dengan menggunakan ambulans MMHE.

Tambahnya, operasi tersebut tamat pada jam 3.40 petang.