Rela antara platform terbaik pupuk perpaduan rakyat: PM

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memeriksa perbarisan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) pada Majlis Perhimpunan Bersama Anggota Rela Sabah bersempena lawatan kerja dua hari ke negeri itu di Universiti Malaysia Sabah (UMS) hari ini. - Foto Bernama
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memeriksa perbarisan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) pada Majlis Perhimpunan Bersama Anggota Rela Sabah bersempena lawatan kerja dua hari ke negeri itu di Universiti Malaysia Sabah (UMS) hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KOTA KINABALU - Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) merupakan salah satu platform terbaik bagi pihak kerajaan untuk memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat di negara ini.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Rela perlu sentiasa berusaha untuk menggunakan sebaiknya kelebihan berkenaan dalam usaha membantu pihak kerajaan menjaga dan mengekalkan keamanan dan keharmonian negara.

"Saya ingin menegaskan bahawa perbezaan kaum dan warna kulit tidak menjadi penghalang kepada kita semua untuk bersatu hati sebagai satu bangsa yang berpegang kepada prinsip kenegaraan yang sama.

"Hayatilah prinsip-prinsip Rukun Negara yang kita junjung selama ini. Saya percaya, dengan adanya semangat perpaduan dan saling membantu ini, kita akan berjaya mengatasi apa sahaja cabaran dan dugaan bukan sahaja wabak Covid-19 yang melanda negara kita pada ketika ini, malah apa-apa sahaja cabaran dan dugaan pada masa hadapan," katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis perjumpaan bersama kira-kira 1,500 anggota Rela Sabah di Dewan Canselor, Universiti Malaysia Sabah (UMS), di sini, hari ini.

Hadir sama Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin, Timbalan Menteri Dalam Negeri II, Jonathan Yasin dan Pemangku Ketua Pengarah Rela, Kamaruddin Mohd Rapig.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, anggota RELA juga bekerja keras membantu kerajaan dalam membendung penularan Covid-19 ketika negara sedang berdepan dengan pandemik virus itu.

Beliau berkata, anggota Rela mempunyai peranan tersendiri dalam membantu kerajaan sama ada daripada aspek menjaga keselamatan awam, pengagihan bantuan dan makanan mahupun usaha mendisiplinkan masyarakat agar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dalam membendung wabak Covid-19.

Artikel Berkaitan:

Pada masa sama, Muhyiddin juga turut menyeru rakyat memuat turun aplikasi MySejahtera dan memanfaatkannya kerana aplikasi itu mampu menjejak kontak rapat pesakit Covid-19 sekiranya wujud di sesuatu kawasan.

Dalam majlis itu, beliau turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM10 juta untuk membiayai pakaian tambahan anggota Rela di Sabah.

"Peruntukan ini adalah sebagai tanda terima kasih dan penghargaan kepada Rela Sabah yang telah bertungkus lumus menjalankan tugas dengan cemerlang sebagai barisan hadapan dalam menangani penularan pandemik Covid-19," katanya. - Bernama