Bomba taruh harapan keadilan untuk arwah Adib

Mohammad Hamdan Wahid
Mohammad Hamdan Wahid
A
A
A
PUTRAJAYA - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menyimpan harapan tinggi terhadap usaha mencari keadilan anggotanya, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata, pada masa ini pihaknya sedang menunggu keputusan daripada Pejabat Peguam Negara berhubung penemuan-penemuan dan kehakiman terakhir bagi mendapatkan keadilan sewajarnya dalam membela kematian Allahyarham Muhammad Adib.

“Kita berharap agar keadilan untuk Adib ini akan terus dituntut dan kita akan lihat hasil daripada perbincangan ataupun dari segi analisa yang dibuat oleh Peguam Negara. Kita menaruh harapan yang tinggi,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perhimpunan Bulanan JBPM di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai harapan daripada pihaknya berhubung status kes Allahyarham Muhammad Adib yang kini berada di peringkat Pejabat Peguam Negara.

Muhammad Adib yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November 2018.

Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember 2018 di Institut Jantung Negara (IJN).

Terbaharu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menubuhkan Pasukan Kajian Semula bagi menentukan sama ada keputusan inkues oleh Mahkamah Koroner yang memutuskan bahawa kes kematian Adib adalah akibat perbuatan jenayah boleh disokong sepenuhnya atau tidak.

ARTIKEL BERKAITAN: Inkues baharu kes Adib dibuka: KPN

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, pihaknya bercadang menyiasat semua aspek kes kematian Allahyarham Muhammad Adib yang menjadi perhatian negara pada akhir 2018.
Artikel Berkaitan:


Menurutnya, antara sebab cadangan itu ialah terdapat percanggahan pendapat oleh dua pakar patologi yang menjalankan bedah siasat.

Beliau turut memaklumkan sejak keputusan Mahkamah Koroner tahun lepas yang memutuskan Allahyarham Muhammad Adib maut akibat perbuatan jenayah oleh dua atau lebih orang yang tidak dikenali, polis telah memanggil semula 31 saksi inkues dan 52 saksi baru.