X

Kindly register in order to view this article
!

Kelar leher isteri hamil kerana cemburu

Suspek menunjukkan tempat mereka membuang pisau.
A
A

BUTTERWORTH - Seorang lelaki warga Myanmar tergamak mengelar leher isterinya yang sedang hamil dengan pisau pemotong daging gara-gara mengesyaki wanita itu curang dalam kejadian di sebuah rumah di Jalan Bagan Jermal di sini minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, suspek berusia 18 tahun itu berjaya ditahan di kawasan ladang getah di Kampung Lancuk Binjai Pendang kira-kira jam 7 malam semalam selepas melarikan diri pada hari kejadian 20 Ogos lalu.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati punca kejadian disebabkan perselisihan faham antara mereka selain suspek mengesyaki isterinya yang berusia 16 tahun curang dan mempunyai hubungan sulit dengan lelaki lain.

"Mangsa yang hamil tujuh minggu dikelar di bahagian leher dengan menggunakan pisau pemotong daging.

"Mereka dikatakan baharu berkahwin dua bulan lalu mempunyai masalah rumah tangga sebelum berlaku pertengkaran dan suspek bertindak mencederakan isterinya bersama dengan seorang lagi rakan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurutnya, akibat kejadian itu mangsa mengalami kecederaan di bahagian leher sebelum dikejarkan ke Hospital Seberang Jaya untuk rawatan lanjut dan menjalani pembedahan.

"Sebelum ini, mangsa pernah diugut bunuh oleh suspek beberapa kali dan lelaki berkenaan juga pernah menyatakan mahu mangsa menggugurkan kandungannya," katanya.

Katanya, hasil siasatan di tempat kejadian bersama pasukan Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang berjaya mengumpulkan beberapa sampel bahan bukti termasuk sebilah pisau pemotong daging digunakan suspek.

Noorzainy berkata, suspek dan rakannya kini direman untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cuba membunuh.