Arul terapkan elemen sains sukan dalam jiwa Malaysian Tigers

Arul Selvaraj (kiri) bersama Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan, Datuk Ahmad Najmi Abdul Razak (tengah) dan Penolong Ketua Jurulatih, Mohd Amin Rahim (kanan) pada sidang media di Stadium Hoki Bukit Jalil hari ini. Foto: Bernama
Arul Selvaraj (kiri) bersama Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan, Datuk Ahmad Najmi Abdul Razak (tengah) dan Penolong Ketua Jurulatih, Mohd Amin Rahim (kanan) pada sidang media di Stadium Hoki Bukit Jalil hari ini. Foto: Bernama
A
A
A

[DIKEMAS KINI] KETUA jurulatih skuad Malaysian Tigers, Arul Selvaraj akan meningkatkan penggunaan sains sukan bagi memberikan nafas baru kepada gaya permainan skuad negara.

Arul yang baru melengkapkan kuarantin wajib 14 hari selepas pulang dari Dublin, Ireland minggu lepas menjelaskan, barisan kejurulatihan kebangsaan akan bekerjasama rapat dengan Institut Sukan Negara untuk memaksimumkan penerapan sains sukan kepada pasukan kebangsaan.

“Bila kita bandingkan pasukan kita dengan pasukan Eropah, kita ketinggalan, tetapi saya akan cuba untuk mengimbangkannya dengan menggunakan kelebihan yang ada dan memperbaiki kelemahan mereka.

“Berdasarkan kepada pengalaman saya, pemain kita mempunyai ketangkasan dan pergerakan antara yang terbaik di dunia, tetapi kita ketinggalan dari segi kecergasan (dengan pasukan terkuat),” katanya dalam sidang media di ibu pejabat Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) di sini hari ini.

“Saya akan lihat berdasarkan kepada data yang kita ada kekuatan kita ialah kelajuan, jadi kita akan rancang kesemuanya untuk disesuaikan mengikut pemain, bagi memastikan mereka boleh bermain pada level optimum,” katanya.

Arul yang akan mengadakan sesi latihan pertamanya esok, menjelaskan yang pemain veteran akan diberikan kuasa lebih untuk membuat keputusan bijak, di samping berkongsi idea bersama barisan kejurulatihan, tetapi keputusan akhir masih akan beliau putuskan.

Bekas pemain antarabangsa itu juga menjelaskan yang beliau akan merombak skuad kebangsaan selepas Kejohanan Piala Razak, yang dijadualkan diadakan di Stadium Hoki Nasional di Bukit Jalil dari 18 hingga 26 September.

Pada masa ini skuad kebangsaan terdiri daripada 32 pemain, dengan empat daripadanya penjaga gol, selain tujuh pemain muda.

Artikel Berkaitan:

Arul akan mempunyai masa yang lebih dengan anak buahnya, kerana pasukan kebangsaan tidak akan mempunyai perlawanan antarabangsa lain tahun ini, selepas Persekutuan Hoki Asia (AHF) baru-baru ini, menangguhkan Trofi Juara-Juara Asia (ACT) dari 17 hingga 27 November ke 11 hingga 19 Mac 2021 akibat pandemik Covid-19 dan sekatan perjalanan.

KHM melantik Arul sebagai ketua jurulatih dengan kontrak dua tahun, selepas Roelant Oltmans meletakkan jawatannya hujung bulan lepas. - Bernama