Sultan Pahang serikan majlis perkahwinan pasangan OKU

A
A
A

KUANTAN - Kehadiran Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah memeriahkan majlis perkahwinan pasangan pengantin di Perkampungan Sungai Isap 2 di sini, sebentar tadi.

Lebih istimewa pasangan tersebut, Siti Norbayah Mohamad Hoe, 24 dan Mohd Hafizan Zaini,27 merupakan orang kurang upaya (OKU) yang bisu dan pekak.

Al Sultan Abdullah tiba kira-kira jam 2.40 petang dan meluangkan masa kira-kira 20 minit bermesra dan mengambil gambar dengan pengantin berkenaan.

Dalam pada itu, Siti Norbayah tidak menyangka Al Sultan Abdullah sudi menghadiri majlis perkahwinan mereka itu dan menyifatkan ia adalah saat-saat paling menggembirakan dalam hidup.

"Saya baru dapat tahu ketika saya dan suami hendak berarak ke pelamin....Walaupun selalu jumpa Tuanku ketika Hari Raya lalu namun perasaan ini berbeza kerana ini hari bersejarah saya dan kedatangan Tuanku menambah lagi sejarah buat saya dan suami.

"Perasaan saya bercampur-baur, gembira dan terharu... saya tak sangka Al Sultan Abdullah yang kini telah menjadi Yang di-Pertuan Agong sanggup meluangkan masa bersama kami..walaupun singkat namun cukup bermakna buat kami," katanya

Beliau berkata kepada Sinar Harian melalui bahasa isyarat yang diterjemah oleh ibu saudaranya, Aida Syafizaz Sulaiman,28.

Dalam pada itu, Mohd Hafizan berkata dia mula bertemu dengan isterinya ketika menyertai sukan yang dianjurkan oleh Persatuan Sukan Orang Bisu Pahang di Sungai Lembing pada 2015.

Artikel Berkaitan:

"Isteri saya seorang yang baik dan pengenalan kami bermula di kem tersebut dan tidak menyangka dialah jodoh saya.

Terima kasih kepada Tuanku kerana berkenan datang ke majlis raja sehari kami walaupun baginda merupakan seorang yang sibuk dengan urusan negeri,"katanya.

Sementara itu, bapanya, Mohd Zaini Ismail berkata dirinya berasa gembira atas kehadiran Al Sultan Abdullah yang berkenan turun melihat perkahwinan anaknya.

"Baginda sememangnya berjiwa rakyat...walaupun saya rakyat Johor tetapi Baginda sememangnya terkenal dengan sikapnya yang suka turun padang berjumpa dengan rakyat," katanya.

Al Sultan Abdullah tiba di dewan berkenaan dengan berjalan kaki kira-kira 500 meter selepas menunaikan solat Zohor berjemaah di Masjid Al-Falah dan mengunjungi rumah baharu sebuah keluarga yang terlibat dalam kebakaran di situ.