Isu sempadan Wilayah Persekutuan - Selangor ambil tempoh lama

Shanthara Kumar
Shanthara Kumar
A
A
A

KUALA LUMPUR - Proses penyelesaian sempadan Wilayah Persekutuan - Selangor dijangka akan mengambil masa yang lama untuk diselesaikan.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shanthara Kumar berkata, ini kerana ia melibatkan kerja-kerja pengukuran dan penandaan persempadanan oleh Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (Jupem) serta proses susulan lain masih perlu dilakukan secara berperingkat.

Selain itu katanya, terdapat beberapa isu teknikal yang perlu diselesaikan berikutan Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan (PPTGWP) telah dipindahkan dari Jabatan Perdana Menteri (JPM) ke Kementerian Wilayah Persekutuan.

"Isu tersebut yang perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum tindakan seterusnya dapat diambil termasuk meminda keanggotaan di dalam JBT dan Jawatankuasa Penandaan dan Pengukuran Sempadan Bersama Negeri (JPPSBN) daripada JPM kepada Kementerian Wilayah Persekutuan.

"Oleh itu, Kementerian Wilayah Persekutuan perlu memperbetulkan keadaan ini melalui satu Memorandum Jemaah Menteri yang kini berada di dalam peringkat semakan terakhir dan akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri dalam masa terdekat," katanya di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan lisan Khalid Abd Samad (PH-Shah Alam) mengenai status terkini penyelesaian sempadan Wilayah Persekutuan -Selangor.

Katanya, sebanyak 18 lokasi telah dikenalpasti sebagai Outstanding Boundaries Problem (OBP) membabitkan Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur itu.

Mengulas lanjut, Dr Shanthara berkata, sekiranya isu persempadanan itu selesai, ia membolehkan pengurusan hasil oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Selangor dilaksana dengan lebih jelas dan teratur.

Artikel Berkaitan: