Veteran ATM kena daftar persatuan sah untuk bantuan, maklumat

 Dzulkarnain Ahmad
Dzulkarnain Ahmad
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pertahanan menyeru semua veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk berdaftar dengan persatuan yang sah bagi memudahkan sebarang urusan mahupun penyampaian bantuan dan maklumat.

Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM ( JHEV ATM) , Kementerian Pertahanan, Mejer Jeneral Datuk Dzulkarnain Ahmad berkata, cawangan di seluruh negara bertanggungjawab untuk memantau dan memberi bantuan sewajarnya kepada Veteran ATM dengan sokongan dan bantuan persatuan veteran yang berdaftar di bawah Akta Veteran 2012.

"Sebarang permasalahan perlu disampaikan kepada JHEV ATM samada melalui Cawangan JHEV negeri ataupun persatuan veteran yang sah. Justeru Kementerian Pertahanan menyeru semua Veteran ATM untuk berdaftar dengan persatuan yang sah bagi memudahkan sebarang urusan mahupun penyampaian bantuan dan maklumat.

"Dengan sistem dan mekanisme sedia ada, JHEV ATM akan terus berusaha untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada Veteran ATM. Kementerian Pertahanan, melalui JHEV ATM sentiasa prihatin dan menitikberatkan kebajikan Veteran ATM, dan akan terus komited untuk membantu meningkatkan taraf sosioekonomi para veteran," katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

Dzulkarnain berkata demikian sebagai mengulas laporan sebuah portal berita bertajuk “Veteran ATM desak PH istihar pelan kebajikan” yang melaporkan dakwaan Gerakan Reformasi Veteran ATM (GRVATM) bahawa bahawa Kementerian Pertahanan tidak mempunyai rancangan untuk veteran ATM.

"Majlis Veteran Kebangsaan (MVK) yang julung kali diadakan pada 24 Disember 2018 dan yang akan datang pada Februari 2019 adalah platform untuk membincangkan permasalahan, rancangan masa hadapan dan idea-idea baru untuk kebaikan Veteran ATM.

"Justeru itu, mana-mana veteran yang masih mempunyai permasalahan atau perkara yang ingin disuarakan perlulah menyampaikannya melalui saluran yang betul," jelas beliau.

Dalam pada itu, beliau berkata, isu dan permasalahan yang melanda veteran ATM bukanlah isu baru dan sebenarnya telah dibangkitkan semenjak pentadbiran kerajaan terdahulu lagi.

Artikel Berkaitan:

"Kerajaan sememangnya prihatin akan kebajikan Veteran ATM dan melalui JHEV ATM masih meneruskan segala kemudahan dan bantuan sedia ada.

"Antaranya ialah Skim Bantuan Sara Hidup, Skim Bantuan Persekolahan, Bantuan Kemasukan ke Universiti Awam dan Politeknik, Bantuan Peralatan Pesakit, Bantuan Bencana Alam di samping bantuan-bantuan yang lain," ujarnya.