Parti politik guna dewan bukan isu: MDTM

Zuraida (tiga dari kanan) bersama pengundi PRK DUN Slim pada Majlis Ramah Mesra Bersama Penggerak Komuniti Negara (PKN) Negeri Perak di Taman Tasik YDP, Slim River, hari ini.
Zuraida (tiga dari kanan) bersama pengundi PRK DUN Slim pada Majlis Ramah Mesra Bersama Penggerak Komuniti Negara (PKN) Negeri Perak di Taman Tasik YDP, Slim River, hari ini.
A
A
A

TANJUNG MALIM - Penggunaan dewan dan kemudahan milik Majlis Daerah Tanjung Malim (MDTM) oleh parti-parti politik sepanjang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim bukan isu.

Yang Dipertua MDTM, Faizal Nizam Md Nor berkata, pihaknya tidak ada halangan untuk mana-mana pihak menggunakan kemudahan tersebut asalkan mereka membayar sewa yang ditetapkan.

Menurutnya, bagaimanapun penggunaan dewan tersebut bergantung kepada kekosongan yang ada.

"Tak jadi isu sebenarnya, mereka bayar. Malah Dewan Tan Sri Ghazali Jawi di pekan Slim River pun kita benarkan untuk digunakan sebagai tempat ceramah.

"Kita benarkan bukan kita beri percuma kepada mereka, tapi berbayar itu pun bergantung kepada kekosongan," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui pada Majlis Ramah Mesra Bersama Penggerak Komuniti Negara (PKN) Negeri Perak sempena Pilihan Raya Kecil DUN N58 Slim di Taman Tasik YDP, Slim River di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai kenyataan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Perak mempertikaikan kempen Barisan Nasional (BN) yang didakwa menggunakan platform kerajaan pada PRK DUN Slim ini.

ARTIKEL BERKAITAN: AMK pertikai BN guna platfom kerajaan bantu kempen

Hadir sama pada majlis itu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin; Exco Pertanian, Perladangan, Perikanan dan Sekuriti Makanan Perak, Datuk Abdul Yunus Jamhari dan beberapa pimpinan PKN.

Artikel Berkaitan:

Faizal Nizam berkata, kemudahan yang disewakan itu merupakan salah satu pendapatan untuk MDTM.

Sementara itu, Zuraida yang ditemui berkata, sekiranya berlaku salahguna kemudahan mana-mana pihak boleh buat laporan kepada pihak berkaitan.

"Mereka ini kadang-kadang mengeluarkan kenyataan tanpa selidik dahulu. Gagasan pembangkang yang bijak mesti teliti dahulu. Kerajaan ada proses tertentu dan prosedur operasi standard (SOP) tertentu dan sebagainya.

"Mereka sepatutnya lebih mengetahui tentang perkara itu kerana mereka menjadi kerajaan," katanya.

Dalam pada itu, Zuraida berkata, pihaknya akan cuba membantu MDTM bagi menambah pendapatan mereka dengan kemudahan-kemudahan yang ada.

Mengenai beberapa isu yang berbangkit, beliau berkata, pihaknya akan berbincang lanjut dengan Faizal Nizam untuk mencari jalan penyelesaian terbaik.