Taikun teknologi kuasai carta orang terkaya dunia

Jeff Bezos, Mark Zuckerberg, Bill Gates
Jeff Bezos, Mark Zuckerberg, Bill Gates
A
A
A

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) laman web peruncitan Amazon, Jeff Bezos terus kekal menjadi manusia paling kaya di atas muka bumi berdasarkan kepada senarai Indeks Bilionair Bloomberg pada 21 Ogos lalu.

Kekayaan Bezos, 56, yang juga pemilik syarikat aeroangkasa dan perkhidmatan pesawat angkasa lepas, Blue Origin, dianggarkan berjumlah AS$194 bilion (RM810.92 bilion) melepasi anggaran kekayaan tertingginya pada tahun lalu sebanyak AS$167.7 bilion (RM698.06 bilion).

Tiada siapa menyangka laman web peruncitan tersebut berkembang pesat dengan mempunyai ramai pembeli sedangkan ia bermula hanya dari sebuah garaj rumahnya di Bellevue, Washington dan hanya menjual buku secara online pada tahun 1994.

Kini Amazon menjual pelbagai produk seperti berjuta-juta lagu dan pelbagai koleksi filem kepada para pembeli di merata-rata tempat di dunia.

Tempat kedua pula diduduki oleh pemilik Microsoft, Bill Gates, 64, dengan anggaran kekayaan sebanyak AS$122 bilion (RM509.96 bilion) sebelum diikuti oleh pengasas bersama Facebook, Mark Zuckerberg, 36, yang dianggarkan memiliki kekayaan berjumlah AS$102 bilion (RM426.36 bilion).

Ketiga-tiga bilionair dari AS itu hidup mewah berikutan mereka menceburi bidang teknologi komputer sehingga produk yang dihasilkan mendapat sambutan menggalakkan daripada pembeli.

Elon Musk meraih kekayaan menerusi jenama kenderaannya Tesla.
Elon Musk meraih kekayaan menerusi jenama kenderaannya Tesla.

Ahli perniagaan yang mempunyai kerakyatan Afrika Selatan, Kanada dan Amerika Syarikat (AS), Elon Musk, 49, pula menduduki tempat keempat dalam senarai itu dengan kekayaannya dianggarkan berjumlah AS$95.2 bilion (RM397.94 bilion). Beliau terkenal kerana mengasaskan syarikat kenderaan Tesla dan Space X.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, ahli perniagaan jenama fesyen LVMH Moet Hennessy dari Perancis, Bernard Arnault berada pada tangga kelima dengan anggaran kekayaan sebanyak AS$82.4 bilion (RM344.43 bilion) diikuti dengan pengerusi syarikat minyak dan gas iaitu Reliance, Mukesh Ambani, 63, dari India yang dianggarkan memiliki kekayaan berjumlah AS$78.7 bilion (RM328.97 bilion).

Taikun, pelabur dan CEO syarikat Berkshire Hathaway, Warren Buffet, 89, dari AS menduduki tempat ketujuh dengan anggaran kekayaan sebanyak AS$78 bilion (RM326.04 bilion).

Ia kemudian diikuti dengan Steve Ballmer, 64, iaitu seorang pelabur, ahli perniagaan AS dan bekas CEO Microsoft yang nilai kekayaannya dianggarkan AS$77.1 bilion (RM322.28 bilion).

Pengasas bersama Google dan saintis komputer AS, Larry Page, 47, berada di tempat kesembilan dengan kekayaan dianggarkan sebanyak AS$75 bilion (RM313.50 bilion).

Rakannya yang juga pengasas Google dan dilahirkan di Moscow, Rusia, Sergey Brin, 47, pula memiliki kekayaan sebanyak AS$72.7 bilion (RM303.89 bilion) dan menduduki tempat ke-10.

Francoise Bettencourt Meyers menjadi wanita terkaya di dunia mewarisi syarikat keluarganya, L'Oreal.
Francoise Bettencourt Meyers menjadi wanita terkaya di dunia mewarisi syarikat keluarganya, L'Oreal.

Cucu kepada pengasas syarikat fesyen L'Oreal iaitu Francoise Bettencourt Meyers, 67, dari Perancis menjadi wanita paling kaya di dunia apabila menduduki tangga ke-11 dengan kekayaannya berjumlah AS$66.4 bilion (RM277.55 bilion).

Dia mewarisi satu pertiga daripada kekayaan ibunya, Liliane Bettencourt yang meninggal dunia pada tahun 2017.

Bekas isteri kepada Bezos, Mackenzie Scott, 50, pula merupakan wanita kedua terkaya di dunia apabila menduduki tempat ke-12 dengan kekayaannya dianggarkan sebanyak AS$63.4 bilion (RM265.01 bilion).

Penulis novel AS itu bercerai pada tahun 2019 selepas mendirikan rumah tangga selama kira-kira 25 tahun menyebabkan dia mendapat saham sebanyak empat peratus dalam Amazon.

Bilionair Malaysia pula, Tan Sri Robert Kuok, 96, menduduki tempat ke-105 dengan kekayaan sebanyak AS$15.5 bilion (RM64.79 bilion).

Robert yang kini tinggal di Hong Kong mempunyai empayar perniagaan dalam hartanah, komoditi dan perhotelan.

Perniagaan perhotelannya bermula dengan pembukaan Hotel Shangri-La di Singapura pada tahun 1971 sebelum ia berkembang di beberapa buah negara.