X

Kindly register in order to view this article
!

'Bersatu sertai MN bukan keputusan Muhyiddin seorang'

Ahmad Faizal ketika bercakap pada sidang akhbar hari ini.
A
A

TAPAH - Pendirian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyertai Muafakat Nasional (MN) merupakan keputusan yang dipersetujui bersama oleh Majlis Pimpinan Tertinggi parti.

Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, ia bukan keputusan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin secara bersendirian sebaliknya dibincangkan dalam parti itu.

"Kami membuat keputusan melalui pucuk pimpinan menerusi Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi, bukan keputusan Presiden sendiri, semua anggota parti telah berbincang dan membuat keputusan untuk bersama," katanya kepada pemberita hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: MN sudah terima surat persetujuan daripada Bersatu

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas persetujuan Bersatu menyertai MN yang disertai UMNO dan Pas sebagai sebuah gabungan besar.

Ahmad Faizal mengakui terdapat segelintir pihak yang kurang senang dengan kemasukan Bersatu dalam gabungan itu atas sebab dan kepentingan tertentu.

Bagaimanapun katanya, kedudukan yang jelas, pimpinan UMNO dan Pas sendiri yang menjemput Bersatu untuk bersama dalam MN

Ahmad Faizal menyerahkan Kit Bumi Hijau kepada seorang penerima di Chenderiang hari ini.
Ahmad Faizal menyerahkan Kit Bumi Hijau kepada seorang penerima di Chenderiang hari ini.

"Dalam satu-satu organisasi, keputusan yang dibuat pucuk pimpinan itu sangat penting, jadi semua ahli perlu turut sama.

"Kalau dibiarkan semua ahli kita bercakap akan ada banyak pandangan sebab masing-masing baik UMNO, Pas atau Bersatu mempunyai ahli yang ramai.

"Tetapi yang saya nampak, orang ramai secara umumnya seronok apabila mendengar cerita parti yang mewakili kaum Melayu ini bergabung," katanya.

Mengulas mengenai Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, Pengerusi Bersatu Perak itu berpuas hati dengan perjalanan kempen yang masuk hari ketujuh hari ini.

"Saya amat selesa dengan kepimpinan Pas dan UMNO dan saya akui di Slim (PRK), UMNO lebih bergerak kerana calon mereka yang bertanding tetapi sebenarnya di belakang tabir dan usaha mendapatkan sokongan penyokong Bersatu, kita bergerak seiring dengan jentera Barisan Nasional (BN) dan Pas," katanya.

Terdahulu, Ahmad Faizal yang juga Menteri Besar Perak menyempurnakan majlis pelancaran dan penyerahan Kit Bumi Hijau kepada 120 penerima di Chenderiang di sini.

Di bawah inisiatif Program Tanaman Bumi Hijau 2020 itu, kerajaan Perak telah memperuntukkan RM0.79 juta untuk menyediakan Kit Bumi Hijau kepada 11,081 isi rumah.

Daripada jumlah itu, sebanyak RM112,251 diperuntukkan untuk daerah Batang Padang yang bakal memberi manfaat kepada hampir 1,581 isi rumah di daerah ini.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!