Tiga balai bomba baharu di Negeri Sembilan

Norazam membuat pemeriksaan barisan.
Norazam membuat pemeriksaan barisan.
A
A
A

SEREMBAN - Negeri Sembilan akan menerima tiga balai bomba baharu yang pembinaannya dijangka bermula tahun ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan, Norazam Khamis berkata, balai berkenaan akan dibina di kawasan Felda Palong 6, Jempol; Kota, Rembau dan Paroi, Seremban.

Menurutnya, pemilihan lokasi berkenaan berikutan kepadatan penduduk selain faktor perindustrian dan risiko.

“Kita melihat adanya keperluan untuk ada balai bomba di kawasan berkenaan kerana kedudukan Felda Palong 6 misalnya yang agak jauh daripada balai bomba sedia ada iaitu di Jempol dan Bahau, manakala di Kota dan Paroi pula berlaku pertambahan kependudukan di kawasan berkenaan.

“Lokasi balai bomba sangat penting bagi memudahkan kita sampai ke tempat kejadian segera dalam tempoh kurang 10 minit,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Perbarisan Tahunan 2019 JBPM Negeri Sembilan di Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2 di sini, semalam.

Selain itu katanya, pihaknya juga dalam proses pengambilan tapak tanah di tujuh kawasan di seluruh negeri ini termasuk Jelebu dan Port Dickson, bagi pembinaan balai bomba pada 2020.

Beliau berkata, tiga balai baharu di Seri Menanti, Gemenceh dan Rantau yang dibina pada tahun lalu sudah siap dan mula beroperasi secara berperingkat sejak Jun lalu.

Artikel Berkaitan:

“Balai Seri Menanti telah beroperasi Julai lalu dan Gemenceh, Disember lalu. Manakala balai Rantau dijangka akan diserahkan pada Februari ini dan ia menjadikan 18 balai bomba beroperasi di negeri ini,”katanya.

Dalam perkembangan lain beliau berkata, berdasarkan statistik, jumlah kebakaran tahun lalu meningkat kepada 910 kes berbanding 2017 iaitu 824 kes.

“Begitu juga dengan kes penyelamatan meningkat kepada 653 kes berbanding 564 kes tahun 2017. Khidmat kemanusiaan juga meningkat dari 1,799 kes pada 2017 kepada 2,729 kes tahun lalu,” katanya.