Akar umbi UMNO kurang setuju Bersatu sertai Muafakat Nasional

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan ketika ditemui media pada Program Merdeka@Komuniti Peringkat daerah Seremban di Dewan Eco Park Rantau di sini hari ini.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan ketika ditemui media pada Program Merdeka@Komuniti Peringkat daerah Seremban di Dewan Eco Park Rantau di sini hari ini.
A
A
A

SEREMBAN - UMNO menerima maklum balas kurang baik daripada ahli akar umbi berhubung persetujuan parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk menyertai Muafakat Nasional (MN).

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, perkara itu akan dibincangkan dalam Biro Politik UMNO secepat mungkin sebelum dibawa ke Majlis Tertinggi UMNO.

"Bila sudah dibincangkan dalam Majlis Tertinggi UMNO, ia jadi keputusan parti. Jadi, biar parti buat keputusan.

"Tapi akar umbi punya pandangan perlu diambil berat kerana jika tiada akar umbi, tiadalah 'pokoknya'," katanya ketika ditemui pada Program Merdeka@Komuniti Peringkat daerah Seremban di Dewan Eco Park Rantau di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, Jawatankuasa Muafakat Nasional tidak boleh memutuskan perkara itu kerana ia berhubung parti dengan parti.

"Macam dulu juga nak tubuhkan Muafakat Nasional, parti kena buat keputusan kerana ia berhubung parti dengan parti. Itu sepatutnya. Ini bukan komuniti Muafakat Nasional.

"Saya tak tahu pasal Pas... Tapi UMNO kita perlu bawa pada parti untuk diputuskan. Kalau parti cakap okay...okaylah. Kalau tak, kita kena tengok semula," katanya.

Sabtu lalu, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Majlis Tertinggi parti itu bersetuju untuk menyertai MN yang mendukung PN sebagai gabungan besar atau 'the grand coalition'.

Artikel Berkaitan: