JPJ kutip RM3.8 juta bayaran saman

Shaharuddin (kiri) pada sidang akhbar selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang JPJ Zon Selatan dekat Klana Resort di sini hari ini.
Shaharuddin (kiri) pada sidang akhbar selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang JPJ Zon Selatan dekat Klana Resort di sini hari ini.
A
A
A

SEREMBAN - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengutip sebanyak RM3.8 juta bayaran saman sehingga tempoh 15 Ogos ini.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Seri Shaharuddin Khalid berkata, kutipan tersebut diperoleh melalui 51,178 saman yang telah dibayar melalui pelbagai saluran JPJ seluruh negara termasuk kaunter JPJ, kaunter bergerak, mobile, portal dan kiosk.

"Kutipan ini adalah selaras pelaksanaan pengurangan saman yang boleh dikompaun sebanyak 70 peratus bermula 1 Ogos lalu.

"Sehingga kini, jumlah saman yang tertunggak dan masih belum dijelaskan adalah sebanyak 2,404,353 dengan anggaran kutipan selepas pengurangan adalah RM170 juta. Bagi saman yang telah disenarai hitam adalah sebanyak 1,794,700," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang JPJ Zon Selatan dekat Klana Resort di sini hari ini.

Pada program ini, seramai 125 penerima anugerah cemerlang dan pesara diraikan.

Menurutnya, JPJ Negeri Selangor merupakan negeri tertinggi membuat kutipan iaitu sebanyak RM620,157 dengan 8,165 saman telah diselesaikan.

Shaharuddin berkata, JPJ mengingatkan orang ramai agar merebut peluang bagi mendapatkan pengurangan saman kompaun sebanyak 70 peratus ini dan tidak menunggu saat akhir bagi mengelakkan sebarang kesulitan yang tidak diingini.

Artikel Berkaitan:

"Saman yang yang tidak dibayar akan disenarai hitamkan dan kesannya akan menimbulkan masalah ketika berurusan dengan JPJ seperti pembaharuan lesen memandu, lesen kenderaan motor, proses tukar hak milik dan lain-lain lagi," katanya.

Katanya, semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ini, beliau menasihatkan kepada semua pemilik kenderaan agar perbaharui insurans kenderaan sekiranya masih tidak memperbaharui cukai jalan.

"Insurans kenderaan penting jika berlaku kemalangan sekurang-kurangnya pemilik kenderaan dilindungi," katanya.