BizFrancais Perak sasar pembiayaan RM3.68 juta

Salbiah (kiri) dan Hazimah mengadakan lawatan lameran gerai sempena Program BizFrancais Perak 2023 di Hotel Casuarina, Meru pada Ahad.
Salbiah (kiri) dan Hazimah mengadakan lawatan lameran gerai sempena Program BizFrancais Perak 2023 di Hotel Casuarina, Meru pada Ahad.
A
A
A

PERBADANAN Nasional Bhd (Pernas) menyasarkan potensi pembiayaan sehingga RM3.68 juta menerusi penganjuran program BizFrancais Perak 2023.

Pengerusi Pernas, Datuk Hazimah Zainuddin berkata, peruntukan itu bagi membiayai semua keperluan perniagaan termasuklah perbelanjaan modal, latihan dan kursus kepada usahawan yang menceburi sektor francais.

"Di Perak ini, kita nak galakkan lagi mereka menceburi francais.

"Mungkin ada antaranya baru berjinak-jinak, jadi dengan adanya program BizFrancais, Pernas dapat membantu mereka dari segi pembiayaan untuk mulakan perniagaan dan sebagainya," katanya sempena Program BizFrancais Perak 2023 di sini pada Ahad.

Program dirasmikan Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Koperasi dan Pembangunan Usahawan Perak, Salbiah Mohamed dan turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Pernas, Datuk Abu Bakar As-Sidek Mohd Sidek.

Salbiah (tengah) merasmika Program BizFrancais Perak 2023 di Hotel Casuarina, Meru pada Ahad.
Salbiah (tengah) merasmika Program BizFrancais Perak 2023 di Hotel Casuarina, Meru pada Ahad.

BizFrancais Perak yang berlangsung di Hotel Casuarina, Meru itu merupakan siri jelajah pertama tahun ini.

Selain Perak, program berkenaan akan diadakan di lima lagi negeri iaitu Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Johor dan Pahang.

Hazimah berkata, sejak diperkenalkan pada 2019, Pernas telah menganjurkan 16 siri program BizFrancais seluruh negara dan meluluskan RM14.94 juta pembiayaan.

Katanya, bagi usahawan Perak pula, Pernas telah membiayai RM17.6 juta melibatkan pelbagai program perniagaan sejak 2004 hingga kini.

"Tahun ini, Pernas menyasarkan pembiayaan berjumlah RM6.13 juta melibatkan 22 syarikat di Perak," katanya.

Pada program sama, Pernas menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Universiti Sultan Abdul Aziz (USAS) bertujuan memberi pendedahan kepada graduan mengenai ekosistem francais.

Menerusi MoU itu, Pernas akan menyediakan latihan modal insan dan konsultasi perniagaan, latihan keusahawanan, pembangunan perniagaan serta francais dan latihan industri.

Selain itu, berlangsung sesi penyampaian cek replika dan sijil penghargaan kepada peserta Projek Excelerator, Program Pembangunan Francais serta surat tawaran program Transformasi Perniagaan (BIT) Pernas.

Pernas turut menyampaikan sumbangan barang keperluan kepada 200 golongan asnaf di negeri itu di bawah program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Pernas Prihatin dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk).