Hajat ke Thailand tidak kesampaian

Anggota bomba dan penyelamat membantu mangsa nahas yang berlaku di KM266.5 Lebuhraya Utara Selatan, arah utara.
Anggota bomba dan penyelamat membantu mangsa nahas yang berlaku di KM266.5 Lebuhraya Utara Selatan, arah utara.
A
A
A

IPOH - Seorang wanita warganegara Singapura maut selepas terlibat kemalangan membabitkan sebuah motosikal berkuasa tinggi di KM266.5 Lebuhraya Utara Selatan arah utara, hari ini.

Mangsa, Maimunah Abdul Hamid, 55, yang merupakan pembonceng motosikal tersebut maut di tempat kejadian.

Manakala suaminya, Abdul Rahim Mohd, 55, yang menunggang motosikal mengalami kecederaan di bahu dan kaki.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby berkata, kejadian dipercayai berlaku pada jam 5.36 pagi ketika mangsa dalam perjalanan daripada Singapura ke Betong, Thailand.

Katanya, ketika tiba di lokasi kejadian, motosikal yang ditunggang mangsa hilang kawalan sebelum terbabas melanggar besi penghadang bahu kiri jalan.

"Akibat kejadian itu, penunggang motosikal jatuh di tengah-tengah jalan manakala pembonceng tercampak dan terjatuh di dalam semak di bahu kiri jalan.

"Mangsa yang membonceng motosikal mengalami kecederaan dan meninggal di lokasi kemalangan. Mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk bedah siasat," katanya.

Mohd Ali berkata, mayat diserahkan kepada waris untuk urusan pengebumian selepas bedah siasat dibuat.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, kejadian tersebut disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.